Ramadan 2021

Images
  • main pix 1
    (Gambar: Aizam Omar/Unsplash/Freepix)

8 cara kurangkan berat badan di bulan Ramadan ini

BERITAmediacorp: Setiap kali tiba bulan puasa, ramai yang menyimpan hajat untuk menurunkan berat badan.

Mungkin sebelum ini anda pernah cuba berdiet tapi ia tidak mendatangkan hasil kerana kurang disiplin. Tapi, apa kata anda mencuba sekali lagi bermula sekarang?


Menurut kajian dengan mengamalkan diet yang konsisten sepanjang Ramadan, ia dapat membantu mengurangkan berat badan. Caranya tidak sukar, semuanya terletak pada diri sendiri. Jika mempunyai tekad dan disiplin, anda pasti dapat mencapai matlamat yang diingini.

Jika berat badan dapat dikurangkan satu atau dua kilo di akhir Ramadan, itu sudah dikira ok. Tapi, jangan berhenti di situ saja. Sebaliknya, terus mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat selepas Ramadan.

Ini ada 8 petua untuk anda mendapatkan berat badan ideal dengan menjaga pemakanan anda:

1. Minum 8 gelas air masak


Walaupun berpuasa ia tidak menghalang kita untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas air setiap hari. Menghidratkan tubuh merupakan perkara yang sangat penting. Untuk memastikan tubuh hidrat, praktikan untuk minum segelas air secara bertahap pada masa-masa berikut sepanjang Ramadan.

• Ketika baru bangun dari tidur
• Sebelum dan selepas bersahur
• Semasa dan selepas berbuka
• Selepas solat maghrib dan isyak
• Selepas tarawih
• Sebelum tidur

2. Elak makan keterlaluan


Ada kalanya sudah menjadi lumrah bagi sesetengah golongan untuk makan secara berlebihan semasa berbuka. Ia sering terjadi apabila perut terasa sangat lapar dan sukar mengawal nafsu makan. Ada juga yang akan makan berganda selepas tarawih.

Menurut kajian, berat badan mudah naik apabila seseorang kuat makan pada sebelah malam. Lazimnya, anda digalakkan untuk makan awal atau mengelak daripada makan secara berlebihan terutama 3 hingga 4 jam sebelum waktu tidur. Ini kerana perut yang kekenyangan akan merangsang kegemukan.

Selain itu, apabila berbuka atau bersahur, elak atau kurangkan pengambilan sajian yang manis dan berminyak. Sebaik-baiknya anda harus mempraktikan berhenti makan sebelum perut terasa kenyang.

3. Usah terlepas bersahur


Jangan elak bangun sahur walaupun anda sedang berdiet. Alas perut walaupun sekadar menikmati minuman segelas air, susu dan juga kurma. Ia penting kerana dapat memberikan tenaga untuk memulakan hari anda.

4. Protein yang mencukupi


Semasa bersahur cuba tambahkan protein kerana ia dapat menjamin tenaga yang mencukupi sepanjang hari. Mulakan hari dengan mengambil makanan berprotein tinggi. Contohnya, bijirin oats, nasi perang, sayur dan buah-buahan. Sajian yang berprotein tinggi akan membantu untuk melambatkan proses pembakaran kalori. Ia dapat mengurangkan rasa cepat lapar.

Semasa berbuka anda disarankan untuk makan putih telur, ikan atau ayam kukus dan daging bakar. Menurut kajian, inilah antara makanan yang baik bagi mereka yang sedang berdiet.

Selain itu, elak sajian masin semasa bersahur sebab kandungan garam yang berlebihan akan membuat tekak kehausan di siang hari.

5. Sayur dan buah segar


Untuk melengkapkan pemakanan yang sihat, pastikan untuk mengambil sayur dan buah-buahan segar. Jika ingin menikmati minuman manis, elakkan daripada minuman air sirap atau manisan berperisa. Sebaliknya, buat sendiri jus buah-buahan atau smoothie bebas gula.

6. Kurangkan gula dalam minuman dan makanan

Jauhkan diri dari minuman manis atau berkafien tinggi. Elakkan juga dari juadah kuih-muih yang sangat manis. Jika tekak terasa nak makan kuih muih, anda harus mengawal diri dan pastikan kuantitinya sederhana.


Pastikan untuk minum air masak dan jadikan ia sebagai minuman ‘must have’ atau mesti ada setiap kali bila bersahur dan berbuka. Tahukah anda, air putih mempunyai sifar kalori dan dapat membantu menghapuskan sisa toksin dalam tubuh secara berkesan.

7. Senaman dan kekal bertenaga

Jangan berikan alasan tidak dapat bersenam atau beriadah semasa berpuasa. Elakkan daripada membataskan diri keterlaluan dan bermalasan sepanjang hari tanpa melakukan aktiviti. Anda juga tidak digalakkan untuk terus tidur.


Sebaliknya, teruskan bersenam. Tapi, elakkan daripada melakukan senaman yang memudaratkan diri atau yang berat-berat. Aktiviti-aktiviti seharian masih dapat diteruskan seperti mengemas rumah, memasak, berjalan pantas di taman pada sebelah petang dan sebagainya. Yang penting tubuh kekal aktif.

8. Vitamin

Dapatkan vitamin yang mencukupi agar tubuh tidak rasa layu sepanjang berpuasa. Selain menjadikan buah-buahan sebagai snek semasa bersahur atau selepas berbuka, anda juga digalakkan untuk mengambil vitamin C, E dan D. Ia dapat membantu meningkatkan daya ketahanan tubuh sepanjang berpuasa sehari suntuk.


Mudahkan untuk jaga diet? Anda tidak perlu berhabisan wang untuk membeli pelbagai makanan semasa berbuka. Malah anda boleh berjimat. Selalunya semasa bulan puasa, tekak memang mengidam hennak makan dan minum macam-macam benda. Bila melihat aneka makanan dan kuih-muih yang dijual rasa terliur, semuanya nampak menyelerakan. Tapi, jika bijak membuat pilihan makanan dan dengan tekad untuk mengawal diet anda pasti dapat kurangkan berat badan anda.

Jika ambil lewa atau leka pula, berat badan boleh naik semula dua kali ganda atau lebih pada akhir Ramadan nanti. Semua ini gara-gara perbuatan makan berlebihan.

Sebenarnya, hendak makan apa saja memang boleh, tapi perlu berpada-pada dan berhenti sebelum kenyang. Usah tambah sajian sampai dua, tiga kali. Kalau tidak, mMacam mana hendak tampil langsing di pagi Syawal nanti? 

- BERITAmediacorp/ha

Top