Ramadan 2021

Images

550 keluarga memerlukan di GRC Marsiling-Yew Tee terima habuan Hari Raya

SINGAPURA: Koperatif Pekerja Lembaga Badan Berkanun Singapura (SSBEC) dan Persekutuan Koperatif Kebangsaan Singapura (SNCF) mengagihkan hamper makanan hari ini (24 Apr) dan esok (25 Apr) kepada 550 keluarga memerlukan di GRC Marsiling-Yew Tee.

Hamper-hamper makanan itu berisi barangan keperluan dapur termasuk beras, minyak, biskut dan gula.

Sehubungan itu, sumbangan duit Raya berjumlah lebih daripada S$10,000 turut diagihkan kepada keluarga-keluarga berkenaan bagi membantu perbelanjaan mereka untuk sambutan Hari Raya yang bakal menjelang.

Usaha penyebaran rahmah sepanjang dua hari itu disertai oleh barisan Anggota Parlimen GRC itu iaitu Menteri Pendidikan Lawrence Wong, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, Datuk Bandar Daerah Barat Laut Alex Yam dan Anggota Parlimen Hany Soh.

"Pada asasnya kita mempunyai skim-skim pemerintah tapi ada juga yang mungkin memerlukan pertolongan yang lebih dan di sini, pertolongan daripada Koperatif memberi kami peluang untuk memberi lebih sedikit kepada mereka supaya mereka dapat menampung kos-kos seharian mereka di rumah," kata Encik Zaqy.

Mereka disertai oleh sekitar 20 sukarelawan daripada Jawatankuasa Pengurusan dan kakitangan SSBEC, kakitangan SNCF serta Jawatankuasa Penduduk.

Acara itu adalah inisiatif kedua kelolaan SSBEC untuk menghulurkan bantuan keperluan makanan kepada keluarga memerlukan pada tahun ini.

Sebelum ini, SSBEC menghulurkan bantuan keperluan makanan dan hongbao kepada 170 isi rumah di Jalan Kukoh pada Februari lalu menjelang Tahun Baru Cina.

Bagi menghulurkan bantuan kepada masyarakat di tengah-tengah pandemik COVID-19, SSBEC dan koperatif yang lain berganding bahu dalam beberapa cara yang lain.

Ini termasuk sokongan latihan dan kursus online percuma yang ditawarkan oleh Koperatif LearningHub NTUC dan penghantaran keperluan makanan kepada penduduk Kim Tian Place oleh Koperatif TCC Credit pada Disember tahun lalu.

- BERITAmediacorp/ha

Top