Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

150 pekerja warga M'sia bergaji rendah di S'pura diberi habuan Ramadan

150 pekerja warga M'sia bergaji rendah di S'pura diberi habuan Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
150 pekerja warga M'sia bergaji rendah di S'pura diberi habuan Ramadan

Sukarelawan Maybank Singapore bersama beberapa penerima bantuan. (Gambar-gambar: Maybank Singapore)

SINGAPURA: Seramai 150 pekerja berpendapatan rendah rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Singapura menerima habuan dalam bentuk barangan makanan dan baucar sempena bulan Ramadan ini daripada Perbankan Islam Maybank Singapore dengan kerjasama Free Food For All (FFFA).

Pada Sabtu (10 Apr), satu acara pengagihan diadakan di pejabat Free Food For All di Blok 21 Chai Chee Road; di mana habuan-habuan Ramadan diberikan kepada 14 pekerja rakyat Malaysia itu oleh CEO Rantau dan CEO Maybank Singapore, Dr John Lee.

Baki pekerja akan menerima habuan itu menjelang hujung bulan April ini.

Turut menyaksikan acara pengagihan itu adalah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Malaysia Muhammad Radzi Jamaludin, Pengarah Operasi FFFA Carol Lee, Presiden Persatuan Rakyat Malaysia di Singapura (MASIS) Arathi Arumugam dan Encik Mohd Razib Ibrahim, iaitu pemimpin kumpulan sukarelawan.

Menurut Dr Lee, pihaknya berbesar hati dapat terus bekerjasama dengan FFFA, yang bermula tahun lalu semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Pada waktu itu, Maybank dan FFFA membantu para pekerja rakyat Malaysia, yang terjejas oleh pandemik COVID-19, dengan mengagihkan makanan dan menghulurkan sumbangan wang kepada mereka.

Setiap bungkusan habuan itu mengandungi baucar barangan dapur bernilai S$60 serta barangan makanan halal seperti kurma, minuman 3 dalam 1 dan makanan-makanan siap dimakan.

Ini bermakna, para penerima bantuan itu tidak perlu menyimpan makanan di dalam peti sejuk dan hanya perlu memanaskannya dalam periuk, ketuhar atau setakat menggunakan air panas. Makanan siap dimakan itu boleh disimpan sehingga 18 bulan dan tidak mengandungi bahan-bahan pengawet.

"Selalunya, orang mendermakan makanan seperti minyak masak, beras, mi - semuanya perlu dimasak. Apa yang cuba kami lakukan adalah untuk mengisi jurang khidmat yang disediakan sepanjang Ramadan, mengikut keperluan masyarakat dan dalam masa yang sama menangani isu global kekurangan makanan dan pembaziran makanan.

"Kami mahu para penerima bantuan menikmati makanan sihat dan berkhasiat. Kami juga mahu memberikan mereka makanan yang kita sendiri mahu makan dan memberikan mereka pilihan yang secukupnya," kata Encik Nizar, sambil merujuk kepada makanan siap dimakan itu.

Acara pengagihan habuan di pejabat Free Food for All di Blk 21 Chai Chee Road. (Gambar: Maybank Singapore)

Beliau juga berharap sempena bulan Ramadan ini, masyarakat akan saling menjaga antara satu sama lain dalam kalangan jiran tetangga mereka.

FFFA tidak asing lagi dalam menjalankan usaha-usaha membantu golongan kurang bernasib baik di Singapura dan juga di peringkat global, dengan menyediakan lebih 50,000 makanan serta merintis inisiatiaf-inisiatif seperti makanan halal yang siap dimakan untuk mereka yang kurang bernasib baik.

Dr Lee dari Maybank Singapore pula berharap agar sumbangan Zakat itu akan membantu FFFA dalam usaha pendampingannya untuk membantu para penerima bantuan, lebih-lebih lagi sempena musim perayaan, di mana sempadan ditutup.

"Selain menawarkan pelbagai kemudahan perbankan patuh Shariah, Maybank juga berusaha untuk memperkasa masyarakat-masyarakat yang memerlukan untuk mengurangkan ketidaksamarataan sosial. Ini sebabnya kami secara aktif menyepadukan tanggungjawab sosial ke dalam prinsip teras perniagaan kami untuk memenuhi aspirasi-aspirasi strategik jangka panjang," ujar Dr Lee.

PROGRAM BANTUAN RAMADAN SERANTAU

Pengagihan habuan kepada para pekerja berpendapatan rendah rakyat Malaysia yang berada di Singapura itu adalah sebahagian daripada program Bantuan Ramadan Serantau (RRR) Maybank, menurut bank itu menerusi kenyataannya hari ini (13 Apr).

RRR adalah program utama tanggungjawab korporat bagi Perbankan Islam Maybank Group menggunakan Zakat.

Ia bertujuan untuk mengagihkan bekalan-bekalan makanan kepada keluarga-keluarga memerlukan untuk memenuhi keperluan asas mereka dalam bulan Ramadan.

Maybank Singapore sudah menjalankan program RRR sejak 2017 di mana bank itu mengagihkan baucar-baucar makanan kepada lebih 1,000 keluarga di Singapura yang memerlukan bantuan kewangan.

Sejak 2013, program RRR itu sudah memperuntukkan hampir S$4.5 juta untuk dimanfaatkan oleh sekitar 120,000 keluarga, termasuk ibu tunggal, golongan kurang upaya, anak yatim, nelayan, peladang dan kumpulan-kumpulan kurang bernasib baik di lebih 10 negara.

Program yang sudah mencecah usia sembilan tahun itu memberi manfaat kepada kumpulan-kumpulan kurang bernasib baik di Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei, Dubai dan kaum etnik Rohingya di Myanmar. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan