Ramadan 2019

Images
  • Burj Khalifa
    Para penghuni pencakar langit Burj Khalifa berpuasa lebih lama berbanding penduduk lain di Dubai. (Gambar: Reuters)

Waktu buka puasa di Burj Khalifa berbeza ikut tingkat

DUBAI: Jabatan Hal Ehwal Islam dan Kegiatan Amal Pemerintah Dubai meminta para penduduk Burj Khalifa dan bangunan-bangunan pencakar langit lain supaya mengambil perhatian mengenai perbezaan waktu berbuka puasa yang bergantung kepada tingkat kediaman mereka.

Akhbar Khaleej Times melaporkan bahawa sejak beberapa tahun lalu, para penduduk bangunan-bangunan pencakar langit di Dubai perlu berpuasa sehingga enam minit lebih lama berbanding mereka yang tinggal di kawasan lain.

Jabatan itu mengeluarkan surat, yang menyatakan bahawa para penduduk yang menetap antara tingkat 60 hingga aras 120 harus berpuasa empat minit lebih lama berbanding para penduduk di kawasan lain di Dubai.

"Mereka yang tinggal di tingkat 121 dan ke atas pula perlu berpuasa enam minit lebih lama, manakala waktu solat subuh adalah tiga minit lebih awal," menurut kenyataan tersebut, seperti yang dipetik oleh Khaleej Times.

Menurut laporan itu lagi, perbezaan masa berdasarkan ketinggian itu turut menyebabkan para penduduk Burj Khalifa, setinggi 163 tingkat, menunaikan solat subuh dua minit lebih awal berbanding kawasan lain di Dubai.


Ahli astrofizik terkenal, Neil deGrasse Tyson, menyifatkan waktu berbuka puasa unik di Burj Khalifa disebabkan oleh matahari yang terbenam agak lambat di tingkat paling atas menara yang menjadi kebanggaan di Dubai itu. 

- Agensi berita/AI/ai

Top