Ramadan & Syawal 2019

Images
  • bros raya
    Filem pendek berjudul 'Kinship' yang dihasilkan oleh Agensi Air Kebangsaan (PUB). (Gambar: Petikan skrin video sgPUB/YouTube)

Video Raya PUB dan Persatuan Rakyat curi hati penonton bukan Melayu; terima sambutan luar biasa

BERITAmediacorp: Dua filem pendek Hari Raya Aidilfitri, yang dihasilkan oleh dua agensi pemerintah buat julung-julung kalinya, menerima sambutan luar biasa daripada rakyat Singapura.

Bukan setakat masyarakat Melayu/Islam sahaja, malah kedua-dua filem pendek itu turut berjaya mencuri hati netizen daripada pelbagai kaum dan agama.

Malah, ramai netizen berpendapat bahawa kedua-dua filem pendek itu mampu menyaingi karya-karya yang dihasilkan oleh negara-negara jiran, khususnya Malaysia yang banyak menghasilkan filem-filem pendek dan video-video yang menyayat hati sempena Ramadan dan Syawal.


Filem pendek berjudul 'Kinship' yang dihasilkan oleh agensi air negara (PUB) dan 'Baju' oleh Persatuan Rakyat (PA) membawa tema yang menyerlahkan semangat kekeluargaan sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.

'AIR DICINCANG TIDAK AKAN PUTUS'

Bak pepatah Melayu "Air dicincang tidak akan putus" menjadi tema 'Kinship' terbitan PUB yang berdurasi selama enam minit.

Filem berkenaan berkisar tentang nasib dua beradik yatim piatu, Din dan Zul, pada zaman 1960an. Namun, mereka akhirnya terpisah apabila si abang, Din, terpaksa meninggalkan adiknya bersendirian setelah diambil sebagai anak titipan.

Filem itu membawa para penonton kepada masa kini, di mana Din kembali mengenang peristiwa manis dan pahit masa lalu ketika mengunjungi sebuah kolam air yang menjadi tempat permainan beliau dan adiknya, Zul.


'Kinship' yang diiringi lagu "Gerimis Mengundang" yang didendangkan oleh pemenang Singapore Idol dan Asian Idol, Hady Mirza, membawa mesej menghargai ikatan kekeluargaan dan memaparkan semangat sebenar di sebalik sambutan Hari Raya iaitu saling memohon maaf dan mengeratkan silaturrahim.


Filem pendek itu adalah sebahagian daripada kempen air PUB bertemakan "Make Every Drop Count" selama setahun yang mengingatkan orang ramai bahawa mereka boleh memainkan peranan untuk menggunakan air dengan cara yang lebih berhemat.

Rata-rata para netizen tidak dapat menahan sebak semasa menonton filem tersebut, malah turut kagum dengan cara bagaimana agensi itu mendampingi rakyat untuk meningkatkan kesedaran mengenai usaha tersebut.


Sesetengah penonton, termasuk para pengguna Facebook juga berharap agar PUB dapat menghasilkan filem susulan bagi melengkapkan kisah Zul dan membawa kesudahan kepada video yang menyayat hati itu. 


Pengguna Facebook, Zahra Alhabshee, misalnya turut menyarankan pepatah Melayu "Buang air yang keruh, ambil air yang jernih" sebagai judul filem pendek seterusnya.


'KUKUHKAN IKATAN KEMASYARAKATAN, PUPUK SEMANGAT MEMBERI' 

"Mengukuhkan ikatan kemasyarakatan dan mendorong semangat memberi". Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi filem pendek berjudul 'Baju' oleh Hakim Yusof.

Filem selama empat minit itu mengisahkan seorang remaja lelaki yang mempelajari makna sebenar Hari Raya Aidilfitri, semasa berdepan dengan cabaran-cabaran peribadi selepas pemergian ayahnya.


Menurut PA, filem pendek itu diilhamkan oleh inisiatif Mengumpul Baju Kurung Terpakai anjuran Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 5 Tampines Changkat, dengan kerjasama Kelab Masyarakat Tampines Changkat dan MESRA. 

Antara penonton bukan Islam, Malti Bhardwaj, memuji filem yang mengusik jiwa itu sambil berkata beliau amat berbangga dengan kumpulan sukarelawan yang menguruskan inisiatif tersebut.


Ramai netizen menyambut baik filem itu dengan pengguna Facebook, Samir Harold Syirazi, berkata: "Video menarik dengan memaparkan nilai-nilai baik... berdasarkan kisah-kisah sebenar! Syabas kepada pasukan kreatif!"


Setakat sehingga rencana ini diterbitkan, filem 'Kinship' arahan Roslee Yusof dari Freeflow Productions sudahpun ditonton sebanyak 218,000 kali. Filem terbitan agensi kreatif, Tribal Worldwide Singapore, itu juga sudah dikongsi sebanyak 4,827 kali. 

Sementara itu, filem 'Baju' arahan Ang Jian Hui ditonton sebanyak 67,000 kali. Filem terbitan Big 3 MEDIA itu juga sudah dikongsi 710 kali.

- BERITAmediacorp/AI/ai

Top