Ramadan & Syawal 2019

Images
  • twm pesta raya movie
    Taman Warisan Melayu mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya dari 22 hingga 23 Jun 2019. (Gambar: Taman Warisan Melayu)

TWM adakan Rumah Terbuka Hari Raya pada Sabtu & Ahad, sajikan pelbagai kegiatan

SINGAPURA: Jika anda belum mempunyai rancangan menziarah hujung minggu ini (22 dan 23 Jun), atau ada masa untuk diluangkan di celah-celah kunjung Raya, apa kata anda bertandang ke Taman Warisan Melayu (MHC) sempena sambutan Pesta Hari Raya.

Rumah Terbuka Hari Raya yang dianjurkan buat kali kelapan tahun itu, menyajikan pelbagai kegiatan menarik untuk anda seisi keluarga.

BELAJAR TENTANG PERJALANAN HAJI ORANG 'DULU-DULU'

Khas untuk kanak-kanak, suasana perhimpunan para jemaah haji di Kampung Gelam suasa masa dahulu dikembalikan di bawah Program Pengembara Haji Si Cilik.

Program berbentuk interaktif ini bukan sahaja mendedahkan mereka kepada perjalanan jemaah semasa mengerjakan haji, mereka juga berpeluang mencuba sendiri kelengkapan ibadah haji seperti pemakaian ihram.


Gambar: Taman Warisan Melayu

"Sekarang ini kita sedang mengadakan pameran Haji, jadi dari segi kandungan pamerannya, kita ingin menjadikan ia senang untuk difahami oleh kanak-kanak dan salah satu caranya ialah melalui aktiviti-aktiviti seperti ini," jelas Cik Nur'Ain Taha, seorang Pengurus Program, MHC.

PAMERAN TANGLUNG CERITAKAN LEGENDA S'PURA

Di sebelah malam pula, pekarangan MHC akan bermandikan cahaya dari pancaran 100 tanglung berwarna-warni.

Lebih istimewa lagi, tanglung-tanglung ini memaparkan kisah-kisah legenda yang terkenal di Singapura seperti Radin Mas, Badang, Singapura Dilanggar Todak, Sang Nila Utama dan Pulau Kusu yang dilukis oleh pelukis-pelukis tempatan.


Menurut Cik Nur'Ain lagi, pemasangan tanglung-tanglung itu diilhamkan dari festival Damar Kurung di Gersik, Indonesia dan pertama kali digunakan sebagai hiasan di MHC.

"Jadi mengapa kita mempunyai ilustrasi tentang legenda-legenda Singapura dalam bentuk tanglung ialah untuk menarik perhatian orang ramai dan juga untuk kanak-kanak supaya mereka boleh belajar sedikit tentang sejarah Singapura," terang Cik Nur'Ain.

Antara aktiviti lain yang dapat dilakukan esok (22 Jun)termasuk menganyam ketupat dan membuat kad-kad Hari Raya.


Gambar: Taman Warisan Melayu

Orang ramai juga boleh menikmati persembahan tarian Melayu dan juga tayangan filem klasik Seniman Bujang Lapok di sebelah malam.

Taman Warisan Melayu menjangkakan seramai 1,000 orang akan membanjiri rumah terbukanya sepanjang hujung minggu ini.

Orang ramai boleh melungsuri lelaman atau Facebook MHC untuk butiran jadual setiap program. Masuk adalah percuma. 

- BERITAmediacorp/zm

Top