Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

The Landmark, Coffee Bean agih makanan, minuman percuma buat buka puasa

Buat pertama kalinya dua buah syarikat F&B mengambil keputusan untuk mengagihkan makanan dan minuman percuma untuk anggota masyarakat Islam berbuka puasa.

Anggaran Waktu Membaca:
The Landmark, Coffee Bean agih makanan, minuman percuma buat buka puasa

Restoran The Landmark, Coffee Bean antara perusahaan F&B yang beri makanan, minuman percuma Ramadan ini. (Gambar: Facebook)

BERITAmediacorp: Semasa bulan Ramadan sekarang ini, buat pertama kalinya dua buah syarikat F&B mengambil keputusan untuk mengagihkan makanan dan minuman percuma untuk anggota masyarakat Islam berbuka puasa.

Kedua-duanya ialah restoran The Landmark yang terletak di Victoria St dan kafe The Coffee Bean & Tea Leaf.

Mahu minuman teh ais dari The Coffee Bean & Tea Leaf yang berharga S$5.80, tetapi secara percuma? Ayuh, baca terus artikel ini...

THE LANDMARK TAMBAH LAGI 100 KOTAK BENTO BRIYANI DUM

Menerusi laman Facebooknya, ternyata inisiatif restoran The Landmark itu menerima sambutan luar biasa.

Agihan pertama, iaitu sebanyak 100 kotak bento Briyani Dum Ayam pada Khamis lalu (9 Mei), habis licin.

Lantaran itu, restoran tersebut memutuskan untuk menambah jumlah kotak bento beriani dam kepada 200 buah mulai Khamis depan (16 Mei).

Agihan dibuat setiap hari Khamis dalam bulan Ramadan. Ini bermakna, tinggal tiga Khamis lagi untuk anda mendapatkan Briyani Dum Ayam tersebut.

Agihan dibuat atas dasar 'siapa cepat, dia dapat', bermula selepas waktu Asar.

(Gambar: The Landmark/Facebook)

(Gambar: The Landmark/Facebook)

Menurut restoran The Landmark, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usahanya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Sebagai anggota masyarakat yang berjaya, kami bertanggungjawab untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan menyumbang kepada kebaikan bersama," menurutnya dalam catatannya di laman Facebook.

DATANG SAHAJA DAPATKAN TEH AIS PERCUMA

Bagi anda yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja atau sedang berjalan-jalan dan sudah masuk waktu berbuka puasa, apa kata anda singgah ke kafe The Coffee Bean & Tea Leaf untuk mendapatkan Teh Ais percuma.

Menariknya, anda tidak perlu membuat sebarang pembelian lain terlebih dahulu. Datang sahaja untuk membasahkan tekak yang dahaga setelah seharian berpuasa.

Kafe itu mengagihkan Teh Ais dalam cawan kecil kira-kira 350 mililiter setiap hari sehingga 16 Mei ini.

Menurut Pengarah Pemasaran The Coffee Bean & Tea leaf, Karen Chua, sudah menjadi budaya syarikatnya untuk sentiasa menunjukkan penghargaan kepada para pelanggan.

(Gambar: The Coffee Bean & Tea leaf/Facebook)

(Gambar: The Coffee Bean & Tea Leaf/Facebook)

Sebelum ini, kafe itu pernah mengagihkan minuman percuma kepada para pelanggan pada Hari Buruh, Hari SAF, Hari Jururawat dan sebagainya.

"Ramadan ini bulan penting buat rakan-rakan Muslim kami. Oleh itu, kami mahu mengagihkan minuman ini kepada mereka.

"Kami tahu ramai daripada mereka mungkin baru sahaja pulang dari kerja atau sekolah. Maka kami rasa minuman ini mudah untuk mereka datang, ambil dan minum supaya mereka berasa segar sebelum meneruskan perjalanan ke rumah atau ke tempat kerja," Cik Chua memberitahu BERITAmediacorp.

ASALNYA UNTUK MUSLIM BERPUASA, TAPI DILUASKAN

Minuman Teh Ais percuma itu juga tidak hanya dihadkan kepada para pelanggan Muslim untuk berbuka puasa.

"Walaupun minuman yang diagihkan ini memang niatnya untuk rakan-rakan Muslim yang berpuasa, kami masih mengalu-alukan semua orang untuk mendapatkannya," tambah Cik Chua.

Minuman itu diagihkan setiap hari bermula pada waktu berbuka puasa sehingga pukul 8.00 malam dan terhad kepada satu cawan setiap seorang.

Ia boleh diperolehi di semua cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf, kecuali di Orchard Central, Esplanade, Politeknik Ngee Ann, Universiti Teknologi Nanyang, Millenia Walk, Singapore EXPO, Lapangan Terbang Changi, Sentosa dan Marina Bay Sands.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan