Teruskan nilai murni Ramadan bagi menuju Masyarakat Gemilang - Amanat Hari Raya Masagos
Terus amalkan nilai-nilai murni Ramadan, bersatu ke arah menjadi sebuah Masyarakat Gemilang. Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata demikian dalam amanatnya sempena Hari Raya Aidilfitri esok (5 Jun).
SINGAPURA: Terus amalkan nilai-nilai murni Ramadan, bersatu ke arah menjadi sebuah Masyarakat Gemilang.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata demikian dalam amanatnya sempena Hari Raya Aidilfitri esok (5 Jun).
Menurutnya, beliau bangga melihat keikhlasan dan kesungguhan masyarakat Islam di sini yang gigih menunjukkan sifat rahmah kepada semua terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Nilai-nilai serta pengalaman bersama itu kata Encik Masagos penting dalam menyatukan kita, menjadi lebih utuh sebagai sebuah masyarakat.
Berikut adalah teks penuh Amanat Hari Raya Aidilfitri Encik Masagos itu:
"Muslimin dan muslimat sekalian. Kita telah pun tiba di penghujung bulan Ramadan - bulan suci bagi umat Islam di seluruh dunia.
Bulan Ramadan begitu istimewa buat kita kerana ia mendorong kita berbuat baik dengan berpuasa, beribadah, dan beramal jariah.
Kita digalakkan untuk menunjukkan sifat rahmah kepada semua - terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Nilai-nilai serta pengalaman bersama ini, menyatukan kita, supaya kita menjadi lebih utuh sebagai sebuah masyarakat. Nilai-nilai ini menjadi asas kempen Sentuhan Ramadan MUIS, tahun ini.
Sepanjang bulan ini, saya terharu dan bangga melihat keikhlasan dan kesungguhan ramai di antara kita yang gigih membantu orang lain, sama ada secara berkumpulan melalui MUIS, badan-badan masyarakat, mahupun secara individu.
Ada yang meluangkan masa di rumah-rumah kebajikan. Ada pula menyumbang masa dan tenaga di masjid, sama ada untuk memudahkan pengalaman jemaah dalam beribadah, ataupun membuat persiapan berbuka puasa. Ramai juga menghulurkan bantuan menerusi zakat dan kegiatan lain yang bermakna.
Setiap amalan, walaupun kecil, amat berharga kerana ia memberi kesan positif terhadap kehidupan orang lain.
Bulan Ramadan juga menggalakkan kita untuk meluangkan masa bersama keluarga dan mempereratkan hubungan dengan jiran-jiran kita, tanpa mengira kaum atau agama.
Semangat "gotong-royong" atau bersatu-padu dan keikhlasan untuk membantu antara satu sama lain ini, adalah budaya kita, yang sesuatu nilai yang mesti terus kita pupuk dan hargai.
Dalam kita menyambut ketibaan Syawal dan bersiap sedia untuk meraikan Lebaran, marilah kita terus mengamalkan nilai-nilai Ramadan – menyebarkan sifat rahmah sesama insan, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, dan bekerjasama dengan masyarakat yang lebih luas demi kebaikan kita bersama.
Inilah nilai-nilai murni yang kita hargai, dan teras dalam perjalanan kita ke arah menjadi sebuah Masyarakat Gemilang.
Muslimin dan Muslimat, bagi pihak Anggota Parlimen yang lain, saya, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan kepada semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon Maaf Zahir dan Batin."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.