Ramadan & Syawal 2019

Images
  • songkok masood
    Kedai ‘Songkok Masood’ di Muar, Johor. (Gambar: Butik Songkok Masood Hussin Muar/Facebook)\

Tempahan 'Songkok Masood' luar biasa sempena Hari Raya

MUAR: Ciri-ciri songkok seperti tahan lasak, kemas dan selesa pada ‘Songkok Masood’ menyebabkan pelanggan dari jauh sanggup turun ke bandar Maharani di Muar, Johor, semata-mata untuk mendapatkan songkok tersebut.

Pemilik butik Songkok Masood Hussin, Nur Dalila Abd Ghani, berkata butiknya sentiasa sibuk sepanjang tahun lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan kerana beliau terpaksa menyiapkan lebih banyak tempahan daripada pelanggan sempena Syawal.

“Bulan Ramadan adalah antara bulan yang paling sibuk selain pada waktu cuti sekolah dan hari kemerdekaan kerana pada ketika itu, saya perlu siapkan banyak tempahan,” kata peniaga berusia 39 tahun itu.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata rata-rata pelanggan memuji songkok buatan tangan yang dijualnya kerana ia dikatakan lebih tahan lama, kemas dan selesa.

Beliau menambah pangkalan pelangannya bukan hanya meliputi penduduk di sekitar bandar Muar namun sebaliknya dari luar juga seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Melaka dan Johor Bahru.

“Saya ada terima tempahan daripada negara jiran Brunei beberapa tahun lepas dan berharap dapat kembangkan lagi ‘Songkok Masood’ ke negara jiran lain seperti Indonesia dan Singapura satu hari nanti,” ujarnya penuh harapan.

Cik Nur Dalila berkata beliau mewarisi ilmu membuat songkok secara turun temurun daripada datuknya, Allahyarham Masood Hussin, dan mula mengambil alih perniagaan keluarga tersebut pada 2002 selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berkata kedai songkok datuknya, yang bermula sejak 1954, sebelum ini dikenali sebagai ‘Toko Harmuni’ namun setelah usahawan itu mengambil alih perniagaan, nama butik tersebut ditukar dan diambil sempena nama datuknya.

Menurut Cik Nur Dalila, selepas mengambil alih perniagaan itu, beliau dibantu oleh suaminya - Zahadi Zakaria - dan pasangan itu sentiasa bertukar-tukar pendapat bagi mengangkat martabat songkok dengan memperkenalkan butik songkok agar ia lebih diterima oleh generasi muda.

“Alhamduillah ‘Songkok Masood’ bukan hanya menjadi pilihan generasi muda tetapi sejak kebelakangan ini, kita ada menerima tempahan songkok untuk bayi,” kongsi Cik Nur Dalila.

Demi terus memajukan perniagaan, beliau dan suaminya sentiasa berusaha untuk mencari kelainan dalam menambah baik reka bentuk dan penjenamaan ‘Songkok Masood’ agar terus menepati citarasa orang ramai.

‘Songkok Masood' dijual pada harga RM70 (S$23) dan boleh mencecah sehingga RM400 (S$131) bergantung kepada jenis fabrik serta ketinggian songkok.

- BERNAMA/FZ/fz

Top