Skip to main content

Iklan

Iklan

TAA kumpul $56,000 pada 10 Ramadan pertama - tertinggi sejak 3 tahun lalu

Derma masyarakat kepada Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) mencecah lebih $56,000 dalam 10 hari pertama Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Derma masyarakat kepada Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) mencecah lebih $56,000 dalam 10 hari pertama Ramadan ini.

Jumlah tersebut yang tertinggi berjaya dikumpulnya sejak tiga tahun lalu bagi tempoh yang sama.

TAA mendedahkan demikian selepas kiraan pertama yang dijalankan di pejabatnya di Tanjong Katong Complex petang tadi (15 Mei).

Jumlah itu lebih tinggi berbanding $52,400 yang dikumpulkan tahun lalu bagi tempoh yang sama.

"Ini menunjukkan sokongan masyarakat yang padat dalam usaha kita mengumpul dana bagi mereka yang memerlukan," kongsi Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Harmizan Abdul Hamid.

"Dengan sokongan ini, saya berharap kita boleh terus bekerjasama dalam bulan yang mulia ini supaya kita dapat meningkatkan lagi dana dan juga bantuan yang diberi."

5 KOTAK DERMA TAA DI BAZAR

Antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan jumlah dikumpulkan juga disebabkan pada tahun ini TAA dapat meletakkan lima kotak derma di Bazar Raya Geylang Serai.

Ini berbeza pada tahun lalu yang mana kotak derma TAA tidak diletakkan di kawasan bazar.

Selain kotak-kotak derma di bazar, ia juga ditempatkan di pusat beli-belah Joo Chiat Complex, Tanjong Katong Complex dan pasar Geylang Serai, sama seperti tahun lalu.

Menurut TAA, jumlah yang terkumpul itu satu permulaan yang baik dalam usahanya mencapai sasaran $850,000 yang ditetapkan.

Namun begitu, lebih banyak sumbangan yang diperlukan untuk mencapai jumlah kutipan melalui kotak derma pada tahun lalu, iaitu $444,000.

Mentelah lagi, jumlah permohonan yang diterima tahun ini adalah lebih 3,400. Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

BOLEH DERMA MENERUSI PAYNOW & KOD QR

"TAA akan terus gigih untuk meningkatkan lagi dana dengan berada di beberapa acara dan melakukan kegiatan-kegiatan di sepanjang bulan Ramadan ini.

"Ini amatlah penting untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk tampil ke hadapan dan beramal bersama TAA untuk membantu mereka yang memerlukan," tambah Encik Harmizan.

Selain daripada kutipan melalui kotak derma, orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan mereka kepada TAA menerusi wadah kod elektronik QR dan PayNow.

Kempen mengumpul derma untuk TAA akan berlangsung sehingga 9 Jun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan