Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Separuh penduduk Gaza mungkin berdepan kekurangan makanan menjelang Syawal

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan lebih separuh daripada penduduk Gaza mungkin tidak mempunyai makanan yang mencukupi menjelang bulan Jun, lapor agensi berita China Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
Separuh penduduk Gaza mungkin berdepan kekurangan makanan menjelang Syawal

Bangunan-bangunan di Gaza pada 4 Mei 2019. (Suhaib Salem/REUTERS)

Diterbitkan : 15 May 2019 08:55AM Dikemas Kini : 15 May 2019 10:04AM

GAZA: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan lebih separuh daripada penduduk Gaza mungkin tidak mempunyai makanan yang mencukupi menjelang bulan Jun, lapor agensi berita China Xinhua.

"Ketika umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadat puasa pada bulan suci Ramadan, lebih separuh daripada penduduk di Gaza bergantung kepada bantuan makanan yang disediakan masyarakat antarabangsa," kata UNRWA dalam satu kenyataan akhbar rasmi.

Menurut UNRWA ia perlu mengumpul dana tambahan berjumlah sekurang-kurangnya AS$60 juta (S$82 juta) menjelang Jun, untuk terus menyalurkan bantuan makanan kepada lebih sejuta pelarian Palestin di Gaza.

Pada tahun 2000, terdapat kurang daripada 80,000 pelarian Palestin yang menerima bantuan UNRWA di Gaza, katanya.

UNRWA dibiayai hampir sepenuhnya oleh sumbangan dan bantuan kewangan secara sukarela, bagaimanapun Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk menghentikan pembiayaan kepada agensi PBB itu sebelum rakyat Palestin meneruskan semula rundingan damai dengan Israel.

Terdahulu pada hari sama, Nickolay Mladenov, utusan perdamaian PBB ke Timur Tengah, menggesa rakyat Israel dan Palestin untuk menstabilkan persefahaman gencatan senjata yang ditaja oleh Mesir, PBB dan Qatar.

Gesaan Mladenov dibuat pada taklimat berita yang diadakan di selatan Gaza ketika beliau memeriksa projek tenaga solar yang dibiayai Pertubuhan Kesihatan Sedunia di sebuah hospital di bandar Khan Younis.

"Kami berharap semua pihak akan mematuhi gencatan senjata ini supaya pelaksanaan projek bantuan kemanusiaan dapat diteruskan," katanya kepada pemberita.

"Kami memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk Pihak Berkuasa Palestin, rakyat Mesir dan rakyat Israel, bagi memperbaiki kehidupan penduduk Palestin di Gaza supaya mereka mempunyai harapan untuk masa depan yang lebih baik," kata pegawai PBB itu. 

Sumber : Bernama/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan