Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selepas PUB & Persatuan Rakyat, 3 lagi agensi pemerintah giat terbitkan video Raya

Sambutan Syawal kali ini disemarakkan lagi dengan pelbagai iklan Hari Raya di sana sini. Nampaknya, semakin banyak agensi pemerintah Singapura tampil menerbitkan video sempena sambutan Aidilfitri sambil menyisipkan mesej penting yang seiring dengan gagasan masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas PUB & Persatuan Rakyat, 3 lagi agensi pemerintah giat terbitkan video Raya

(Petikan video: SCDF/Facebook)

BERITAmediacorp: Sambutan Syawal kali ini disemarakkan lagi dengan pelbagai iklan Hari Raya di sana sini. Nampaknya, semakin banyak agensi pemerintah Singapura tampil menerbitkan video sempena sambutan Aidilfitri sambil menyisipkan mesej penting yang seiring dengan gagasan masing-masing.

'Keluargaku Mahligaiku' - inilah tema yang menjadi jalan cerita utama di sebalik pembikinan video oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Ia memaparkan hubungan kukuh yang terjalin antara rakan sepasukan, selain keluarga sendiri, yang menjadi tunjang untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara dengan lebih cekap.

Semangat setiakawan dan keprihatinan terhadap satu sama lain ketika bertugas - selaras dengan nilai teras SCDF - membuatkan ramai anggota bomba barisan hadapan "bangga" mempunyai rakan-rakan sepasukan yang boleh dianggap sebagai keluarga mereka sendiri.

Bahkan, video tersebut juga menunjukkan betapa balai bomba sudah menjadi ibarat rumah kedua bagi para anggota bomba yang tidak canggung malah teruja untuk meraikan Lebaran bersama-sama di tempat kerja meskipun sibuk dengan tuntutan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Video sekitar tiga minit yang memutarkan lagu latar 'Sepasang Kurung Biru' itu mendapat hampir 470 perkongsian di Facebook. Ramai pengguna turut mengucapkan terima kasih kepada wira-wira yang sanggup bertarung nyawa demi menyelamatkan jiwa serta nusa pada detik-detik cemas.

Komen di catatan Facebook berkenaan video Hari Raya oleh SCDF. (Petikan gambar: SCDF/Facebook)

Komen di catatan Facebook berkenaan video Hari Raya oleh SCDF. (Petikan gambar: SCDF/Facebook)

Pada kesempatan yang sama, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pula menerbitkan sebuah video Hari Raya 'hip' dengan rentak segar hasil kolaborasi bersama kumpulan genderang tanah air - Sambiesta.

Sepanjang lebih dua minit, video tersebut menyerlahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta lapisan usia menerusi muzik, makanan dan perayaan. Dengan penampilan khas pelakon Siti Khalijah Zainal dan pemain genderang Riduan Zalani, muzik video genre rap yang diselangi lagu Melayu klasik itu, sememangnya berusaha untuk memenuhi citarasa golongan muda khususnya.

Komen berhubung video Hari Raya yang dihasilkan oleh MCCY dan dimuat naik ke laman Facebooknya. (Petikan gambar: MCCY/Facebook)

Komen berhubung video Hari Raya yang dihasilkan oleh MCCY dan dimuat naik ke laman Facebooknya. (Petikan gambar: MCCY/Facebook)

Ternyata , ia berjaya berbuat demikian setelah menerima 1,500 'like' di Facebook dan 63 komen daripada penonton yang rata-rata terhibur dengan video tersebut.

Sementara itu, para penonton diingatkan tentang pentingnya merancang dalam kehidupan menerusi video Hari Raya yang dihasilkan Gov.sg.

Mesej halus itu diselitkan dalam cerita mengisahkan seorang gadis dan seorang jejaka yang sibuk mengejar kerjaya masing-masing hinggakan 'terlupa' mencari jodoh.

Berjudul 'Hari Raya Aidilfitri Bersama #HafAndHaf', watak-watak utama video itu didukung oleh pelakon-pelakon popular Izyan Mellyna sebagai Hafizah Salihan dan Hisyam Hamid selaku Hafiz Rahman.

Lebih daripada sekadar memaparkan kedua-dua watak itu menyulam cinta, video tersebut mahu menekankan pentingnya bagi setiap pasangan yang merancang atau baru mendirikan rumahtangga untuk "menyediakan payung sebelum hujan". Ini dengan melakukan perancangan kewangan secara teliti supaya tidak memboros bagi sesuatu perkara yang tidak mendatangkan maslahat kepada masa hadapan bersama.

Komen-komen mengenai video Hari Raya #HAFANDHAF, terbitan Gov.sg, di laman Facebooknya. (Petikan gambar: Gov.sg/Facebook)

Komen-komen mengenai video Hari Raya #HAFANDHAF, terbitan Gov.sg, di laman Facebooknya. (Petikan gambar: Gov.sg/Facebook)

Ternyata, video empat minit itu cukup mencuit hati - yang turut disiarkan sebagai selingan di kaca televisyen - menerima sambutan memberangsangkan dengan jumlah tontonan di Facebook sahaja hampir mencecah 4,500 pemilik akaun.

Walau apa sekalipun tema dan bentuk video yang dihasilkan untuk tatapan umum sempena Lebaran, semuanya bertujuan menyampaikan pesanan dan nasihat secara halus agar setiap individu terus beringat-ingat akan nikmat hidup yang dikurniakan hari ini supaya ia dapat terus kekal hingga ke masa hadapan. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan