Ramadan & Syawal 2019

Images
  • halimah raya
    Presiden Halimah menyampaikan ucapannya menerusi satu video yang dimuat naik ke laman Facebook. 

Presiden Halimah, para pemimpin ucap Selamat Hari Raya kepada umat Islam S'pura

SINGAPURA: Para pemimpin negara Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam di Singapura.

Menerusi catatan Facebooknya hari ini (4 Jun), Puan Halimah turut berharap hari istimewa ini disambut meriah oleh semua penduduk Singapura, tidak kira kaum dan agama.

"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam. Semoga anda meraikannya dengan gembira bersama keluarga, rakan dan jiran tidak kira kaum dan agama. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!" tulisnya.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong merakamkan ucapan malar segar berikut sempena sambutan Lebaran: "Selamat Hari Raya Aidilfitri!" 


(Gambar fail: Fyrol/MCI) 

Dalam ucapannya pula, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli menyampaikan kata-kata "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin" kepada semua Muslim serta selamat bercuti kepada semua yang lain.

Menulis di Facebook, beliau juga menyelitkan harapannya sedang kita menyambut ketibaan Syawal"

"Ayuh kita terus mengamalkan nilai-nilai murni Ramadan, menyebarkan rahmah kepada semua, terutama sekali kepada jiran-jiran kita. Mari kita terus memperatkan hubungan sesama kita, menjalin persahabatan, tidak kira kaum dan agama."

Dalam pada itu, beberapa pemimpin Melayu Singapura yang lain turut mencuri perhatian dengan cara-cara mereka tersendiri untuk menyampaikan ucapan Aidilfitri.

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin misalnya, mungkin antara yang paling kreatif sejauh ini. Beliau cukup 'sporting' untuk menyiapkan video dirinya bermain kompang di Kampung Selak Kain di Buangkok.


Bukan itu sahaja, beliau sempat berpantun dalam kapsyen Facebooknya, yang berbunyi:

Songkok dipakai ibarat mahkota,
Sampin diikat di depan cermin,
Sesuci hati ikhlas berkata,
Daripada saya Amrin Amin

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman pula memilih untuk memuat naik satu video bermakna yang menunjukkan para penduduk GRC East Coast giat menyebarkan rahmah sempena bulan Ramadan.


"Berakhir sudah bulan #Ramadan, saya dan para Penasihat Akar Umbi GRC East Coast ingin mengucapkan kepada semua rakan-rakan Muslim kami, Selamat Hari Raya Puasa. Semoga sambutan ini membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada anda dan keluarga sepanjang tahun ini! #EastCoastCares," tulisnya.

Para pemimpin politik lain yang turut merakamkan ucapan mereka menerusi Facebook termasuklah Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim, AP GRC Jurong Rahayu Mahzam dan AP GRC Ang Mo Kio Dr Intan Azura Mokhtar.  

- BERITAmediacorp/aq

Top