Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Permintaan meningkat bagi khidmat pasar 'online' jelang Syawal

Sedang masyarakat Melayu/Islam meniti ke penghujung bulan Ramadan, persiapan bagi menyambut Hari Raya semakin rancak.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sedang masyarakat Melayu/Islam meniti ke penghujung bulan Ramadan, persiapan bagi menyambut Hari Raya semakin rancak.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk berkunjung atau tidak sanggup mengharungi lautan manusia di pasar basah, khidmat penghantaran barangan dapur online menjadi pilihan bagi mendapatkan bahan-bahan masakan juadah Aidilfitri.

Tinjauan rambang BERITAmediacorp mendapati syarikat-syarikat khidmat penghantaran barangan dapur secara purata melihat kenaikan dalam jumlah tempahan seawal dua minggu sebelum Hari Raya.

PESANAN BARANGAN DAPUR DI 7MALL.SHOP MELONJAK 16 KALI GANDA

Bagi syarikat 7Mall.Shop, jumlah tempahan meningkat 16 kali ganda kepada sebanyak 500 tempahan seminggu sebelum Hari Raya. Ini berbanding dengan sekitar 20 hingga 30 tempahan yang biasa diterima setiap hari.

Khas menjelang Syawal, syarikat itu turut membuat tawaran pakej daging ayam dan lembu segar untuk menyiapkan lauk-pauk ayam dan rendang semasa Hari Raya.

Pengasas 7Mall.Online, Encik Damar Osman berkata: "Alhamdulillah, sambutan ini sungguh tidak diduga kerana selalunya kita dapat tempahan dalam 20 hingga 30. Apabila kita lancarkan Eid Combo Meal ini, seminggu lebih sebelum Hari Raya, kita dapat lonjakan tempahan sebanyak hampir 500 beberapa hari kebelakangan ini."

(Gambar-gambar: 7Mall.Shop)

Berfungsi sebagai sebuah pasar "online", syarikat itu menawarkan lebih 3,000 barang dapur basah dan kering yang diimport sendiri dan ditempatkan di ruang kedai mereka, di Changi Road.

Bermakna, para pelanggan boleh menjangkakan tempahan mereka dihantar seawal keesokan hari; dan dengan pilihan yang besar mereka tidak perlu khuatir bahan-bahan masakan tiba lewat bagi Hari Raya.

Bahkan, demi menampung jumlah tempahan yang tinggi, syarikat itu mengambil lima pekerja sambilan untuk membantu membuat penghantaran ke rumah-rumah pelanggan.

Khidmat penghantaran yang ditawarkan pula bukan setakat ke pintu rumah pelanggan, malah ia sehingga ke dapur rumah mereka. Ini bagi memudahkan warga emas yang mungkin menghadapi kepayahan untuk berjalan.

Salah seorang pelanggan yang amat menghargai khidmat tambahan 7Mall.Shop ini ialah Cik Shidah Jaafar, 60 tahun.

"Saya tak boleh jalan lagipun kalau saya nak ke pasar, jauh nak jalan dengan kaki sakit," kata beliau yang tinggal bersama seorang anak serta suaminya yang berkerusi roda.

"Suami saya pun macam mana kan nak tolak dia, jadi tak pergi buat tempahan aje senang. Sampai dekat depan pintu, tidak payah susah pergi pasar", tambahnya.

Secara keseluruhan, 50 peratus daripada pelanggan 7Mall.Shop merupakan golongan warga emas. Disebabkan mereka mungkin tidak begitu arif dalam penggunaan teknologi, syarikat itu menawarkan khidmat tempahan yang boleh dibuat menerusi panggilan telefon atau kiriman mesej Whatsapp.

Khidmat penghantaran bagi golongan warga emas juga ditawarkan secara percuma. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan