Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peniaga tidak setuju arahan tutup kedai sebelah malam di Kelantan sepanjang Ramadan

Ada dalam kalangan peniaga di bandar Kota Bharu tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengarahkan operasi perniagaan restoran ditutup dari pukul 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga tidak setuju arahan tutup kedai sebelah malam di Kelantan sepanjang Ramadan

(Gambar hiasan: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 08 May 2019 11:17AM Dikemas Kini : 08 May 2019 11:45AM

KOTA BHARU: Ada dalam kalangan peniaga di bandar Kota Bharu tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengarahkan operasi perniagaan restoran ditutup dari pukul 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.

Pemilik sebuah restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Maryam, berusia dalam lingkungan 40-an tahun, berkata arahan baru itu agak merisaukannya kerana perlu menanggung kos perniagaan termasuk membayar gaji 15 orang pekerja.

"Kita faham hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menunaikan solat sunat Terawih namun mungkin arahan menghentikan operasi perniagaan perlu diteliti semula.

"Pekerja dan pemilik restoran mempunyai tanggungjawab yang lebih besar bagi menyediakan keperluan keluarga dan saya rasa arahan tersebut terlalu drastik untuk diikuti oleh peniaga," kata beliau pada Selasa (7 Mei).

MENGAPA TERTAKLUK KEPADA PERNIAGAAN MAKANAN SAHAJA?

Bahkan, Cik Maryam turut mempertikaikan mengapa arahan penutupan operasi perniagaan hanya dikenakan ke atas kedai makan dan restoran dan bukan secara menyeluruh meliputi semua jenis perniagaan.

"Apa yang kami faham hanya kedai makan dan restoran yang dikenakan arahan tersebut. Macam mana dengan pasar raya dan restoran makanan segera...adakah mereka dikecualikan?," soalnya.

Sementara itu, ibu tunggal Aliza Ahmad berkata setiap tahun, beliau menumpang di sebuah kedai makan bagi menjual colek pada bulan Ramadan demi menampung keperluan empat orang anaknya.

"Memang setiap tahun saya menjual pelbagai jenis colek untuk menambah pendapatan bagi membeli pakaian dan keperluan hari raya kami sekeluarga.

"Jika arahan ini dikuatkuasakan, saya perlu mencari alternatif lain untuk mencari pendapatan bagi persediaan hari raya tahun ini," kata Cik Aliza.

Dua hari lalu, satu surat arahan berhubung penutupan operasi kedai makan dan restoran dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang berkuatkuasa serta merta.

Arahan tersebut dikeluarkan bagi menghormati bulan Ramadan selain menarik rakyat mengerjakan solat Terawih berjemaah di masjid atau surau.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan