Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Peniaga kuih jenama Sedaplicious hanya import kuih Raya yang penuhi 'sedap tekak S'pura'

Tahukah anda, 'lidah' atau 'tekak’ orang Malaysia sebenarnya tidak sama dengan orang Singapura dalam soal 'rasa' kuih Raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga kuih jenama Sedaplicious hanya import kuih Raya yang penuhi 'sedap tekak S'pura'

Kuih Tat Sedaplicious menepati citarasa orang Singapura. (Gambar: Sedaplicious/Facebook)

BERITAmediacorp: Tahukah anda, 'lidah' atau 'tekak’ orang Malaysia sebenarnya tidak sama dengan orang Singapura dalam soal 'rasa' kuih Raya.

Demikian menurut seorang pengusaha, Encik Muhammad Shawal Naharudin, yang sudah hampir sedekad membekalkan kuih-kuih Raya dari Malaysia ke Singapura.

Lantaran itulah, walaupun mengimport dari Malaysia, syarikat anak Melayu Singapura itu giat 'memburu' kuih-kuih Raya dari Malaysia yang hanya mengikut tekak orang Singapura.

BERITAmediacorp berkunjung ke Kempas di Johor baru-baru ini untuk melihat sendiri bagaimana syarikat pengeluar jenama kuih Raya Sedaplicious itu melakukannya demi memenuhi pasaran Singapura.

Kuih Raya Sedaplicious. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pemilik kuih Raya jenama Sedaplicious. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

CEREWET PILIH KUIH RAYA, PASTIKAN BERMUTU & SEDAP

Semasa memulakan perniagaan kuih Raya pada 2010, anak Singapura, Encik Muhammad Shawal Naharudin hanya menjual sejenis kuih - iaitu Popiah Udang Kering.

Hanya selepas lima tahun, barulah beliau dan isterinya, Cik Masliana Melati, menemui satu lagi kuih yang dilihat sesuai untuk dieksport ke pasaran Singapura.

Begitulah 'cerewet' dan telitinya pasangan itu dalam memilih kuih Raya bermutu yang menepati 'tekak' rakyat Singapura.

Disebabkan itu jugalah, walaupun hari ini pasangan itu sudah sembilan tahun memasarkan kuih Raya di bawah jenama Sedaplicious, mereka hanya memasarkan sembilan jenis kuih Raya. Bukan berbelas atau berpuluh jenis kuih.

Kuih yang dijualnya termasuk Tat Nenas, Biskut Coklat Oat Premium, Kek Kukus Buah, Kuih Layang-Layang, Kerepek Ketam Pedas, Muruku Krap Krup, Kerepek Bawang dan Kerepek Ubi Pedas.

Sedaplicious kini menawarkan 9 jenis kuih Raya. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SEDAP ATAU 'FAIL'?

Kuih-kuih Raya jenama Sedaplicious keluaran syarikatnya - Muslim Valley - diperolehi daripada tujuh pembekal di merata Malaysia yang rata-rata merupakan perniagaan kecil-kecilan.

"Saya dan isteri saya kita akan pergi berjumpa dengan makcik-makcik itu, kita sendiri akan rasa. Ramai kawan-kawan kami sarankan, jadi kami sanggup sampai ke KL atau untuk pergi ke kedai atau rumah orangnya, kita rasa sedap (atau) tak sedap.

"Selera orang Singapura lain. Jadi kita orang Singapura, kita tahu macam mana selera orang Singapura kan? Jadi ada yang di Malaysia orang kata sedap, sedap, sedap. Tapi bila kita makan ‘fail’.

"Jadi kita memang amat prihatin dengan dia punya mutu. Bukan sahaja sedap, tapi kebersihan dan cara bentuk rupa kuihnya, itu yang kami pastikan," jelas Encik Muhammad Shawal kepada BERITAmediacorp.

Beliau juga ibarat sambil menyelam minum air.

Selain mahu menawarkan kuih-kuih Raya yang dijamin sedap, Encik Muhammad Shawal juga berharap, pembelian yang dibuat daripada perniagaan-perniagaan kecil-kecilan itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka menjana pendapatan yang lebih.

Popiah Udang Kering - kuih pertama Sedaplicious. (Gambar: Sedaplicious/Facebook)

PENJUALAN MENINGKAT LEBIH 20 KALI GANDA; PERKENAL 'GIFT BOX'

Ternyata, sambutan yang diterima daripada para pelanggannya di Singapura boleh dianggap memberangsangkan.

Dalam tempoh sembilan tahun, keuntungan Sedaplicious melonjak 30 peratus.

Malah, jika dulu hanya beliau dan isterinya yang melakukan semua kerja - dari mencari kuih yang sedap, membungkusnya semula, mengeksport sehinggalah menjual kepada pelanggan di Singapura - kini perniagaannya sudah banyak berkembang.

"Sekarang dah 2019, Alhamdulillah banyak kemajuan dari segi peningkatan jualan dah lebih daripada 20 kali ganda.

"Dulu... kami buat sendiri, sekarang kakitangan administrasi kami ada dalam 10 orang, kakitangan produksi kita ada lima orang. Jadi itu peningkatannya lah, kemajuannya," kongsi Encik Muhammad Shawal.

Tahun ini, beliau turut memperkenalkan satu konsep baru bagi memasarkan kuih Rayanya.

"Untuk tahun ini kami memperkenalkan konsep 'gift box' (kotak hadiah). Dalam 'gift box' ini ada 3 botol kecil dan pelanggan boleh beli dan boleh beri kepada mak mentua, bakal mak mentua, kawan, kawan kerja, sebagai hadiah. Kira kalau beraya datang rumah orang tangan tak kosong," Encik Muhammad Shawal memberitahu BERITAmediacorp.

Kuih Raya Sedaplicious. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

APAKAH 3 CIRI KUIH SEDAP?

Berkongsi visinya untuk Sedaplicious dalam jangka panjang, Encik Muhammad Shawal berharap untuk meluaskan pelanggan sasarannya.

"Sedaplicious sudah berada di pasaran selama sembilan tahun dan apa yang kami ingin lakukan selepas ini ialah kami nak sasarkan kepada pasaran bukan Muslim. Maknanya Sedaplicious akan menembusi pasaran Tahun Baru Cina dan juga Deepavali," ujar beliau.

Memandangkan kuih Raya yang dijual Encik Muhammad Shawal diberi jenama Sedaplicious, kami bertanyakan kepada beliau apakah tiga ciri kuih Raya yang sedap.

Ini jawapan beliau:

"Pertama dia mesti sedap. Jadi kalau kita makan mesti ada rasa 'shiok'. Kedua, bentuknya lah. Rupanya sekurang-kurangnya bila kita tengok macam berselera jugalah kita nak makan. Dan ketiga, kalau dah makan mesti ketagih. Macam makan, makan, makan susah nak berhenti. Itu yang kita nak," katanya sambil tersenyum.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan