Ramadan & Syawal 2019

Images
  • rkm 1
    Sambutan Syawal tahun ini berbeza buat Mikha. 

Penghuni RKM syahdu beraya tanpa Ibu

SINGAPURA: Tidak dinafikan kehilangan orang tersayang mendatangkan kesedihan yang mendalam. Apatah lagi jika pemergian itu berlaku sekelip mata.

Bagi seorang penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), pemergian ibu tercinta secara tiba-tiba memang suatu pengalaman yang sangat memeritkan dalam menyambut lebaran ini.

Dek kesalahan mencuri, "Mikha", 14 tahun, bukan nama sebenar, dihantar ke Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) Disember lalu. Untuk melepaskan rindu, ibunya, seorang ibu tunggal, akan datang ke RKM untuk bertemu Mikha.

Pada Februari lalu, tergerak hati Mikha untuk menjenguk ibunya di rumah. Namun hajatnya tidak kesampaian.

IBU PERGI KETIKA TIADA BERADA DI SISI

"Saya ketuk pintu tak ada orang buka, saya macam tak tahu apa nak buat. Saya ingatkan dia pergi tandas jadi tak apa lah saya patah balik sekolah," cerita Mikha.


Pada keesokan harinya, Mikha sekali lagi mencuba untuk bertemu dengan ibunya.

"Saya ketuk lagi, sama. Saya telefon polis. Lepas tu mereka pecahkan pintu. Saya tidak berada di sana ketika itu. Saya di sekolah," katanya.

Mikha pada ketika itu hanya mampu tergamam selepas dikhabarkan bahawa ibunya sudah lagi tiada. Ibunya dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari sebelumnya.

Lebih menyayat hati, Mikha hanya dapat mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya semasa di pusara.

"Saya rindukan mak saya," katanya lagi. Semasa menceritakan kepada BERITAmediacorp, empat kata itu menikam terus ke jantung.

RKM TERUS DAMPINGI PENGHUNI KESUNYIAN

Prihatin dengan keadaannya, pegawai-pegawai RKM banyak mendampinginya supaya beliau tidak kesunyian. Mikha dilihat sering menyendiri selepas pemergian ibunya.

"Memandangkan beliau baru di RKM dan juga kehilangan ibunya, beliau banyak menyendiri. Kami di sini banyak memberi nasihat dan sokongan supaya dapat membangkitkan semangat beliau," kata Superintenden RKM Rahmatunnisa Abdul Majeed.


Sempena Aidilfitri ini, Mikha dan 50 penghuni RKM yang lain dibenarkan pulang menyambut Raya bersama keluarga. Bagi Mikha, beliau dijemput beraya dan meluangkan masa bersama keluarga datuk saudaranya.

Hasil sumbangan ikhlas masyarakat, setiap kanak-kanak dan belia ini membawa pulang habuan berupa set pakaian baru dan duit Raya berserta baucar membeli barang dapur.

SINAR HARAPAN PADA AIDILFITRI

Antaranya ialah "Azman" yang berpeluang pulang ke pangkuan ibu kandungnya setelah tiga tahun di bawah jagaan RKM. Malah, Azman antara yang bertuah kerana akan dibebaskan dalam beberapa bulan lagi.


"Saya berdoa mudah-mudahan dia berubah. Syukur Alhamdulillah, dia dah berubah. Saya berterima kasih banyak-banyak dari dulu sampai sekarang," kata ibu Azman. 

Walaupun dapat bersama hanya buat sementara waktu pada Hari Raya, setiap masa bersama keluarga sangat dihargai. 

- BERITAmediacorp/aq

Top