Ramadan & Syawal 2019

Images
  • Minister Hari Raya
    Majlis Perjumpaan Raya Menteri pada 14 Jun. (Gambar: BERITAmediacorp)

Pemimpin masyarakat, karyawan sokong bahawa "kita adalah sebuah Masyarakat Gemilang"

SINGAPURA: Perisytiharan keyakinan diri yang disuarakan Menteri Masagos Zulkifli bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura adalah "sebuah Masyarakat Gemilang", disambut baik para pemimpin masyarakat dan para karyawan.

Perisytiharan tersebut dibuat Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam itu semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya anjuran para Anggota Parlimen (14 Jun), di mana beliau juga mengajak masyarakat Melayu supaya "dengan berani dan megah mengatakan bahawa kita adalah sebuah Masyarakat Gemilang".

Ucapan Encik Masagos di majlis Hari Raya itu dibuat di hadapan 500 pemimpin masyarakat dan karyawan.

Namun jelas, mesej beliau adalah untuk semua anggota masyarakat Melayu/Islam di seluruh Singapura.


MELAYU/ISLAM S'PURA MODEL MASYARAKAT BERJAYA

Mesej yang beliau tekankan termasuklah penegasan bahawa masyarakat Melayu/Islam bukan masyarakat bermasalah, tetapi adalah masyarakat maju yang menjadi penyumbang kepada ekonomi dan negara;

bahawa masyarakat luar negara menganggap masyarakat Muslim Singapura sebagai model sebuah masyarakat yang berjaya;

dan bahawa orang Melayu perlu "meninggalkan tanggapan negatif kita terhadap masyarakat dan diri kita sendiri".

"Sambil kita berhimpun untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada malam ini, kita juga meraikan pencapaian masyarakat kita yang membanggakan. Kita bukan masyarakat bermasalah, tetapi masyarakat yang mampu menyelesaikan masalah kita sendiri," kata Encik Masagos.


Beliau menambah, masyarakat Melayu/Islam Singapura adalah masyarakat minoriti yang memberi sumbangan yang sangat besar dan bermakna. Malah, bilangannya yang kecil tidak menjadi hambatan.

"Tujuan saya malam ini ialah untuk menunjukkan bahawa kita mesti hapuskan sebarang tanggapan negatif kita terhadap masyarakat kita sendiri kerana banyak yang harus kita syukuri dan banggakan," ujar beliau tentang matlamat ucapannya di majlis tersebut.

"Ayuh, kita bangkit dengan semangat baru yang membina, membara berlandaskan 'Keperibadian' murni, 'Kemahiran' kukuh dan semangat 'Kewarnagenaraan' yang jitu kerana kita sememangnya Masyarakat Gemilang," seru beliau lagi.

3'K' PENTING BAGI BERDEPAN CABARAN MASA MENDATANG

Para pemimpin badan-badan Melayu yang ditemui BERITAmediacorp selepas ucapan beliau itu rata-rata akur akan pentingnya sikap yakin diri berteraskan 3'K' itu untuk berdepan pelbagai cabaran baru masa mendatang.

"Saya rasa apa yang ditekankan oleh Encik Masagos tadi, 3K itu adalah sebagai satu semangat yang telah ditanamkan untuk bagaimana bangsa Melayu kita akan maju ke hadapan. Dengan adanya 3K itu, itu menunjukkan yang kita ini mesti menanamkan semangat jati diri bangsa Melayu kita," kata Presiden Pertapis, Husaini Abdullah.


Presiden Pertapis, Husaini Abdullah.

"Selagi mana kita pegang perkara ini, dan kita dapat hidup dengan harmoni dan dengan tiga perkara ini kita dapat maju ke hadapan, menyumbang bakti kepada masyarakat dan pembangunan Singapura," tambah Presiden Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri kepada BERITAmediacorp.


Presiden Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri.

CEO Mendaki, Rahayu Buang pula menyifatkan gagasan 3K itu sebagai suatu aset bagi masyarakat Melayu/Islam. Malah beliau menyifatkan juga ciri-ciri tersebut sebagai "identiti kita sebagai seorang Melayu".

"Jadi kita adalah aset negara dan bagaimana kita boleh meningkatkan diri kita dan masyarakat kita lebih lagi, sebagai aset yang diperlukan dalam negara kita," tambah Cik Rahayu.

CEO Mendaki, Rahayu Buang.

ASATIZAH DISERU KERJASAMA BENTUK "PEMIKIRAN ISLAM SETEMPAT"

Dalam ucapannya itu, Encik Masagos juga mengajak golongan asatizah supaya bekerjasama dengan Pejabat Mufti dan kepimpinan masyarakat yang lain "untuk bersama memandu masyarakat Islam Singapura", sekali gus memastikan bahawa masyarakat Islam tempatan "dapat terus hidup dengan penuh keyakinan".

Jadi, apa pula reaksi para asatizah?

"Saya rasa satu gesaan yang sangat baik bagi generasi ataupun golongan asatizah untuk sama-sama bersatu dan bekerjasama dalam hal ini bersama dengan Pejabat Mufti dan juga kepimpinan masyarakat lain yang saya rasa meliputi Pergas dan juga persatuan-persatuan Islam yang lain untuk sama-sama kita membantu.

"Dan juga kita bekerjasama dalam menyediakan satu panduan untuk masyarakat supaya masyarakat lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran hidup," CEO Pergas Ustaz Yusri Yubhi memberitahu BERITAmediacorp.


CEO Pergas Ustaz Yusri Yubhi.

Anggota Rangkaian Belia Asatizah (AYN), Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman pula juga menyifatkan langkah menggembleng tenaga para asatizah dengan Pejabat Mufti serta pemimpin masyarakat sebagai "satu usaha yang sangat baik".

"Kerana kita hidup dalam sebuah konteks di Singapura ini berbeza dari negara-negara yang lain," katanya lagi.


Anggota Rangkaian Belia Asatizah (AYN), Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman.

Mengulas lebih lanjut mengenai masyarakat Muslim tempatan, Encik Masagos menekankan bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura beruntung kerana walaupun merupakan sebuah masyarakat minoriti, ia dibimbing oleh 4,500 asatizah dan ahli agama dalam pelbagai bidang keislaman.

PERSIDANGAN MASYARAKAT GEMILANG: APA HARAPAN PARA KARYAWAN?

Dalam usaha berterusan menghasilkan panduan agama untuk masyarakat Muslim minoriti, Encik Masagos mengumumkan bahawa satu persidangan besar akan diadakan tahun depan.

Sidang itu juga akan membincangkan tentang gagasan Masyarakat Gemilang.

Meluahkan harapannya tentang persidangan itu, ini kata Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) Rohan Nizam Basheer:

"Saya rasa daripada persidangan ini kita dapat mengetengahkan pencapaian kita, segala titik peluh kita untuk menjayakan masyarakat pada mata dunia dan seperti kata Encik Masagos, kita bukan setakat masyarakat minoriti yang biasa-biasa."


Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) Rohan Nizam Basheer.

Karyawan seperti Anggota Jawatankuasa MESRA Persatuan Rakyat, Cik Hamidah Aidillah Mustafa pula berharap bahawa persidangan itu dapat "menguatkan lagi semangat kesepaduan, kesatuan ataupun integrasi di antara masyarakat Melayu dan juga masyarakat-masyarakat yang lain".


Anggota Jawatankuasa MESRA Persatuan Rakyat, Cik Hamidah Aidillah Mustafa.

Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air menambah bahawa persidangan itu yang akan disertai para alim ulama tempatan dan dari setiap pelusuk dunia, bakal menjadi sumbangan yang bermakna dari Singapura kepada dunia. 

- BERITAmediacorp/nk

Top