Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti seru masyarakat Islam S’pura teguhkan semangat bersatu demi kesejahteraan bersama

Kerencaman masyarakat bukan penghambat untuk menjalani kehidupan beragama yang bermutu. Bahkan, ia boleh menjadi sumber kekuatan dan keunikan untuk saling hidup mesra lagi harmoni.

Anggaran Waktu Membaca:
Mufti seru masyarakat Islam S’pura teguhkan semangat bersatu demi kesejahteraan bersama

Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menyampaikan khutbah Aidilfitri berjudul 'Semangat Ramadan Yang Menyatukan Kita' pada 5 Jun 2019. (Gambar-gambar: Rosli A Razak)

BERITAmediacorp: Kerencaman masyarakat bukan penghambat untuk menjalani kehidupan beragama yang bermutu. Bahkan, ia boleh menjadi sumber kekuatan dan keunikan untuk saling hidup mesra lagi harmoni. Ini lebih-lebih lagi jika nilai-nilai murni daripada kehidupan beragama itu dihayati, dihargai dan dipelihara dalam suasana masyarakat majmuk.

Demikian seruan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram semasa menyampaikan khutbah Aidilfitri berjudul 'Semangat Ramadan Yang Menyatukan Kita' pagi ini (5 Jun).

Menurut Dr Fatris, hubungan kukuh antara seseorang insan dengan penciptanya "amat berkait rapat" dengan hubungan yang dijalin bersama sekalian manusia. Dalam erti kata lain, rukun-rukun agama disempurnakan "tanpa menggadaikan semangat memajukan kehidupan dunia" yang dibentuk oleh masyarakat yang berlainan latar belakang. Misalnya, kata beliau, semasa menunaikan ibadah berpuasa sepanjang bulan suci Ramadan.

"Ia tidak melemahkan kita dari memberi sumbangan kepada masyarakat, bahkan ia menyemarakkan lagi semangat keihsanan. Ia juga meluhurkan budi pekerti dan menjadikan kita insan yang menghormati hak orang lain serta menjaga adab dan etika ketika berurusan dengan masyarakat," ujar Mufti.

Khutbah Aidilfitri Dr Fatris itu disampaikan di Masjid Sultan. Turut bersolat di Masjid Sultan ialah Presiden Halimah Yacob bersama suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

NIKMAT HADIR BUKAN SETAKAT SEKELIP MATA

Menyentuh tentang ketenteraman dan keharmonian di Singapura, Dr Fatris menekankan bahawa semua nikmat itu tidak hadir secara semula jadi dengan sekelip mata tetapi sebaliknya memerlukan usaha berterusan segenap masyarakat.

Beliau turut mengingatkan tentang keadaan kacau-bilau yang membelenggu bandar-bandar lain di merata dunia sambil berkata: "Perbezaan dan kerencaman juga telah mencetuskan kebencian dan hasutan. Bahkan, tidak kurang juga ia menyebabkan keganasan dan pembunuhan.

"Di samping kita mensyukuri nikmat ketenteraman dan keharmonian di negara kita, kita perlu terus berusaha memelihara keadaan ini. Kehidupan masyarakat kita adalah contoh bagaimana pengamalan Islam dapat menghasilkan kebaikan dan persefahaman."

Mufti merujuk kepada contoh bagaimana acara-acara berbuka puasa sempena Ramadan tahun ini - seperti tahun-tahun sebelumnya - berhasil membantu menyemai semangat berjemaah dalam kalangan masyarakat. Selain menghulurkan bantuan dan derma kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan tanpa mengira asal usul mereka, ia juga satu peluang untuk masyarakat lain lebih mengenali Islam menerusi interaksi bermakna yang diwujudkan itu.

"SEGALANYA BERMULA DARI DIRI KITA"

Hubungan sedemikian, tegas Dr Fatris, perlu dipertahankan dan diperkukuhkan kerana usaha baik yang terjalin sejak sekian lama boleh - pada bila-bila masa dan oleh sesiapa sahaja - digoyahkan.

Para jemaah yang menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Sultan pada 5 Jun 2019. (Gambar: Rosli A Razak)

"Hubungan yang kukuh penting kerana dengannya kita dapat melaksanakan kehidupan keagamaan dengan aman. Kita boleh berpuasa, bertarawih bahkan melaksanakan solat Hari Raya seperti sekarang ini tanpa perasaan takut mahupun bimbang. Ini pada hakikatnya adalah satu nikmat besar daripada Allah yang tidak dapat kita abaikan," kata Mufti.

Dr Fatris menambah bentuk masyarakat pada masa akan datang terletak di dalam tangan kita sendiri yang bertanggungjawab mewarnainya.

Maka itu, adalah diharapkan agar segala perubahan positif pada semua peringkat kehidupan dapat terus dipupuk untuk menyumbang kepada kesejahteraan umat, masyarakat dan negara kelak.

"Ingatlah, bahawa segalanya bermula dari diri kita. Apabila kita menginginkan masyarakat yang bertakwa dan menyumbang kepada kesejahteraan agama serta negara, maka kitalah yang seharusnya mencorak langkah terlebih dahulu, bukan menantikan gerakan orang lain," nasihat Dr Fatris melalui khutbahnya itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan