Skip to main content

Iklan

Iklan

Melayu/Islam S'pura 'Masyarakat Gemilang', kata Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengajak masyarakat Melayu/Islam untuk dengan berani dan megah mengatakan bahawa "kita adalah sebuah Masyarakat Gemilang".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengajak masyarakat Melayu/Islam untuk dengan berani dan megah mengatakan bahawa "kita adalah sebuah Masyarakat Gemilang".

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya di Majlis Perjumpaan Hari Raya yang diadakan di Hotel Marriott Tang Plaza hari ini (14 Jun).

Menurut Encik Masagos, masyarakat yang gemilang berteraskan tiga dasar kukuh atau Dasar 3K - Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan.

Dalam ucapannya itu, Encik Masagos berkata, keperibadian sesebuah masyarakat terbentuk menerusi kelakuan kolektif setiap individu yang sekaligus mencerminkan identiti masyarakatnya.

Beliau menambah, identiti masyarakat Melayu Singapura sudah lama dibina daripada ciri-ciri Islam dan budaya Melayu.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) juga sudah mengolah ciri-ciri tersebut berdasarkan lima mutu yang berkait rapat dengan prinsip ajaran Islam, iaitu 'berdaya tahan dalam hal keagamaan’, ‘bersifat inklusif’, ‘suka menyumbang’, ‘mudah menyesuaikan diri’, dan ‘berfikiran progresif’ atau ringkasnya RICAP.

"Dengan RICAP dan etos Rahmatan Lil Alamin, masyarakat Islam Singapura telah hidup dalam harmoni dengan kaum yang berbeza agama bukan sekadar mengamalkan sikap toleransi, tetapi dengan menghormati pandangan yang berbeza.

"Sebagai kaum terbesar dalam masyarakat Islam Singapura, orang Melayu dan budaya Melayu banyak mencorak amalan orang Islam di sini," ujar Encik Masagos.

Lantaran itu, Encik Masagos melahirkan penghargaan dan rasa gembira dengan sambutan hangat masyarakat terhadap inisiatif M³.

Sejak dilancarkan setahun lalu, hampir 400 asatizah dan karyawan serta orang awam tampil menyokong dan menyumbang tenaga dalam projek-projek M³.

Beliau turut memuji badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan badan India Muslim, yang menjadi nadi penting masyarakat dan tidak putus-putus memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Keperibadian murni masyarakat juga menimbulkan semangat kesatuan yang menabur sumbangan begitu besar.

Contohnya, pungutan Zakat pada tahun 2018 sebanyak S$43 juta sudah membantu ramai keluarga yang memerlukan.

Pada tahun lalu juga, masyarakat menyumbang S$18 juta untuk membina masjid. Ini bermakna, jumlah dana untuk pembinaan masjid sejak tahun 1975, melebihi S$250 juta.

"Ini belum termasuk derma yang dihulurkan di masjid-masjid secara seharian, yang jumlahnya juga berjuta-juta dolar. Masyarakat kecil kita, jika mahu membina masjid baru, atau menaiktarafkan masjid lama, kita kendalikan sendiri acara mengumpul dana, dan tidak mengharap dana dari pihak luar negara mahupun dari pemerintah. Ramai pula peniaga-peniaga kita yang mapan menyumbang," kata Encik Masagos.

Beliau turut mendedahkan bahawa aset wakaf masyarakat Islam Singapura sudah bernilai lebih S$940 juta dan memanfaatkan ramai umat Islam di Singapura dan di merata dunia.

SUMBANG DARI SEGI KEMAHIRAN

Satu lagi 'K' yang disebut Encik Masagos, adalah Kemahiran.

Untuk menjadi gemilang, masyarakat juga perlu menyumbang termasuk dari segi kemahiran.

Encik Masagos turut memuji tiga individu cemerlang yang bangkit daripada kesulitan dan cabaran hidup dengan merebut peluang untuk mempertingkatkan diri masing-masing.

Mereka adalah Cik Bibi Fatimah, Encik Arif Rahman dan Encik Firdaus Abdul Hamid.

"Sebagai masyarakat Melayu/Islam, kita mempunyai dua misi. Pertama, kita harus pastikan bahawa setiap pelajar Melayu/Islam boleh sekurang-kurangnya memasuki dan lulus ITE. Ini adalah “garisan merah” yang kita tentukan, iaitu kita tidak mahu sesiapa pun mundur melewati “garisan merah” ini.

"Kedua, kita harus berusaha bersama supaya seramai mungkin memasuki universiti. Kedepan, tugas utama Mendaki bersama masyarakat memastikan “garisan merah” ini terkawal, dan “garisan biru” ini ditingkatkan lagi," kata Encik Masagos.

Beliau menambah, MUIS juga akan berusaha lebih gigih lagi untuk memastikan para asatizah Singapura terlatih dan dikerahkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Melayu/Islam yang berubah-ubah menerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) yang ditubuhkan awal tahun ini.

SEMANGAT KEWARGANEGARAAN PENTING

Untuk membangunkan sebuah Masyarakat Gemilang, semangat kewarganeraan juga penting.

Nilai inilah yang akan memperkukuhkan ikatan masyarakat kepada warga lain dan memeterai masyarakat Melayu/Islam sebagai aset penting Singapura.

"Justeru, sebagai Masyarakat Gemilang kita tidak harus puas hanya sekadar berintegrasi kerana tahu hanya sifat kewarganegaraan yang dapat menyemai kepercayaan antara warga demi mencipta kemakmuran untuk semua dan memperteguh jati diri kita sebagai anak watan Singapura," tambah Encik Masagos.

Encik Masagos turut menyeru para asatizah setempat supaya bekerjasama dengan Pejabat Mufti serta kepimpinan masyarakat lain untuk membangunkan suatu bentuk pemikiran Islam setempat yang dapat memandu masyarakat Islam Singapura.

Matlamatnya bagi memastikan masyarakat Islam di Singapura dapat terus hidup dengan penuh keyakinan.

"Berbekalkan keyakinan keagamaan inilah, kita akan dapat terus turut sama menyumbang dalam aliran perdana masyarakat Singapura dan mewujudkan sikap kewarganegaraan yang kukuh. Kita tidak lagi disibukkan dengan kebimbangan bahawa menghadiri upacara keagamaan teman atau mungkin saudara sekeluarga yang berlainan agama itu satu masalah keagamaan," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan