Ramadan & Syawal 2019

Images
  • maya karin

Maya Karin bengang harga bufet hotel tidak masuk akal kala Ramadan

KUALA LUMPUR: Saban tahun, umat Islam lebih berkemampuan dari segi ekonomi akan memilih hotel sebagai destinasi untuk berbuka puasa kerana pelbagai juadah istimewa menerusi bufet yang dihidangkan.

Namun, berbeza pula bagi pelakon seberang tambak, Maya Karin, yang menganggap senario itu sebagai satu pembaziran terutama apabila ada pihak hotel mengenakan bayaran caj sekepala yang dikatakan tidak masuk akal.

Perasaan geram Maya terus meluap-luap kerana meskipun pakej ditawarkan pada harga agak mahal, lapor Malaysiakini, masih terdapat banyak pihak yang sanggup untuk berbelanja dan berbuka puasa di hotel.


“Saya amat marah dengan harga melampau untuk bufet Ramadan! Terdapat individu mahupun syarikat rela membayarnya. (RM)150 hingga 200 untuk dewasa,” tulisnya di laman Twitter beliau.

Maya juga berkongsi keluhannya itu menerusi catatan di Instagram sambil membubuhkan tanda pagar seperti #foodwaste (pembaziran) dan #exploitation (eksploitasi).

Mengulas soal pembaziran pula, selebriti berusia 39 tahun itu menjelaskan beliau sebenarnya kurang memahami mengapa terdapat segelintir umat Islam yang gagal mengamalkan kesederhanaan sewaktu berbuka puasa.

“Di mana nilai kesederhanaan? Saya tak faham,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

TIDAK LAYAK PERTIKAIKAN SOAL EKONOMI

Sebagai rekod, Maya berkata, senario harga melampau yang dikenakan pihak hotel sudah diperhatikannya kira-kira lima hingga enam tahun lalu.

“Cuma baru sekarang saya berani keluarkan kenyataan sebegini. Sengaja saya buat carian di Google tapi amat terkejut dengan apa yang diperolehi,” ujar Maya seperti ditukil oleh Malaysiakini.

Pada masa yang sama, Maya menekankan, amalan memakan dengan terlalu banyak pada satu-satu masa boleh menyebabkan tahap kesihatan seseorang terjejas.

“Jangan kerana puasa seharian, individu itu berasakan dia berhak makan sebanyak mungkin. Makan banyak darah tinggi naik, seterusnya datang pula pelbagai penyakit,” beliau mengingatkan orang ramai.

Menurut Malaysiakini, rungutan pelakon Munafik 2 itu di media sosial turut mengambil kira caj sekepala melampau sebagai membawa beban kepada ibu bapa yang mempunyai anak.

“(RM)80 hingga 100 untuk kanak-kanak. Kanak-kanak! Apa yang mereka makan? Nasi sikit, ayam sikit atau spaghetti sikit,” katanya sambil menegaskan beliau tidak akan lagi berbuka puasa di mana-mana hotel selepas ini.


Maya - yang juga terkenal melalui filem Pontianak Harum Sundal Malam - secara sinis mengingatkan sesiapa yang gemar berbuka puasa di hotel sebenarnya tidak layak untuk mempertikaikan perkembangan ekonomi negara.

“Siapa makan kat sana jangan meroyan pasal ekonomi,” kata beliau yang tidak kisah andai pandangannya itu tidak dipersetujui banyak pihak.

- Agensi berita/FZ/fz

Top