Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mawar putih Myanmar tanda perpaduan dengan Muslim sempena Lebaran

Penganut agama Buddha Myanmar membahagikan bunga mawar putih kepada para penduduk beragama Islam dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri hari ini (5 Jun). Tanda perpaduan begini amat jarang berlaku di Myanmar kerana umat Islam sering ditindas di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mawar putih Myanmar tanda perpaduan dengan Muslim sempena Lebaran

Kempen mawar putih bermula setelah seorang sami Buddha membahagi-bahagikan mawar putih kepada para perusuh yang mengganggu solat Tarawih. (Gambar: AFP / Sai Aung Main)

Diterbitkan : 05 Jun 2019 10:52PM Dikemas Kini : 05 Jun 2019 11:04PM

YANGON: Penganut agama Buddha Myanmar membahagikan bunga mawar putih kepada para penduduk beragama Islam dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri hari ini (5 Jun). Tanda perpaduan begini amat jarang berlaku di Myanmar kerana umat Islam sering ditindas di negara itu.

Para sukarelawan berhimpun di luar masjid Dargah di timur Yangon untuk membahagikan bunga-bunga kepada berpuluh-puluh jemaah yang tiba untuk menunaikan solat Aidilfitri, hanya beberapa minggu setelah sekumpulan pelampau cuba untuk mengganggu para jemaah yang bersolat Tarawih.

Penghantar barangan beragama Islam, Tin Myint, 42 tahun, berkata, tanda kasih itu meningkatkan semangat masyarakat Islam tempatan.

"Ada penganut agama Buddha yang benar-benar membantu untuk melindungi kami," kata Tin Myint kepada wartawan AFP.

Sekitar 100 sukarelawan mengagih-agihkan 15,000 kuntum mawar kepada penduduk Islam di 23 tempat di merata Myanmar semasa bulan Ramadan. (Gambar: AFP/Sai Aung Main)

Sekitar 100 sukarelawan mengagih-agihkan 15,000 kuntum mawar kepada penduduk Islam di 23 tempat di merata Myanmar semasa bulan Ramadan. (Gambar: AFP/Sai Aung Main)

Kempen mawar putih itu bermula tiga minggu lalu setelah sekitar 200 pelampau nasionalis merusuh di tiga tempat solat Tarawih sehingga para jemaah terpaksa berhenti.

Polis bertindak beberapa hari menyusuli insiden itu dengan menawarkan perlindungan kepada para jemaah itu dan waran tangkap dikeluarkan terhadap seorang pemimpin bantahan tersebut.

Seorang sami Buddha yang berwibawa bernama Seindata juga turun padang untuk meminta kelompok perusuh itu supaya bersabar sambil membahagi-bahagikan mawar putih dan memulakan kempen tersebut.

Pasukan terdiri daripada kira-kira 100 sukarelawan itu mengagih-agihkan 15,000 kuntum mawar kepada penduduk Islam di 23 tempat di merata Myanmar semasa bulan Ramadan.

Thet Swe Win, 33 tahun, menjelaskan mawar itu merupakan "amaran kepada para pelampau bahawa kebanyakan penduduk Myanmar tidak bersetuju dengan pandangan mereka yang tidak adil".

Penduduk Muslim membentuk sekitar 3 hingga 4 peratus penduduk Myanmar yang kebanyakannya beragama Buddha.

Tindakan keras tentera pada 2017 memaksa sekitar 740,000 kaum Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Namun, penindasan terhadap masyarakat Islam Myanmar - yang termasuk pelbagai kaum etnik - mempunyai sejarah yang panjang.

Wunna Shwe, pengerusi bersama Majlis Ehwal Agama Islam Myanmar, berkata, kempen mawar putih itu benar-benar membantu selepas bertahun-tahun hak-hak masyarakat Islam diperlekehkan.

"Kami pernah tinggal seperti saudara antara satu sama lain (bersama para penganut agama Buddha)," katanya sambil menambah, masalah itu dibangkitkan atas "tujuan politik". 

Sumber : AFP/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan