Ramadan & Syawal 2019

Images
  • masagos hari raya
    Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Hari Raya anjuran para Anggota Parlimen Melayu/Islam pada 14 Jun 2019.

Masyarakat Melayu/Islam S'pura dipandang tinggi di peringkat antarabangsa, kata Masagos

SINGAPURA: Masyarakat minoriti Muslim Singapura dipandang tinggi bukan sahaja dalam kalangan masyarakat am Singapura tetapi juga dalam kalangan pemimpin asing.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris di Majlis Perjumpaan Hari Raya anjuran para Anggota Parlimen Melayu/Islam pada Jumaat (14 Jun).

Dalam majlis yang diadakan di Hotel Marriott Tang Plaza yang turut dihadiri Pemangku Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Menteri Kanan Teo Chee Hean ini, beliau menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Semasa berucap dalam bahasa Inggeris, Encik Masagos menarik perhatian betapa masyarakat minoriti Muslim Singapura dipandang tinggi bukan sahaja dalam kalangan masyarakat am Singapura tetapi juga dalam kalangan pemimpin asing.

Menurut beliau, pencapaian itu suatu yang hebat dan bukan sesuatu yang mudah diperolehi.

Dan ia berdasarkan maklum balas yang diterimanya dalam tahun pertama beliau menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Menurut Encik Masagos, sering kali masyarakat minoriti disifatkan sebagai "VERB” iaitu stereotaip sebagai menjadi mangsa masyarakat lebih besar, berhak, perlu diselamatkan serta menyalahkan orang lain bagi masalah mereka.

Namun, tegas Encik Masagos, masyarakat Muslim di sini mempunyai reputasi yang berbeza.

Beliau merujuk kepada lawatannya ke Mesir di mana kedua-dua Imam Besar Al-Azhar dan Mufti Besar Kaherah melahirkan rasa kagum, masyarakat Muslim hidup dengan harmoni bersama masyarakat besar Singapura.

Muslim Singapura menjadi contoh bagaimana masyarakat majmuk dapat hidup dengan makmur.

Di Jordan pula, Presiden Universiti Jordan, Prof Dr Abdel-Karim Al-Qudah, kata Encik Masagos, amat kagum dengan pelajar Singapura di sana.

Bahkan, negara-negara di Amerika, Eropah yang bergelut dengan isu integrasi masyarakat Muslim, memilih untuk datang dan belajar dari Singapura.

Encik Masagos berkata masyarakat Islam Singapura harus bangga dengan reputasi dan kejayaan tinggi yang dicapai.

Namun, beliau mengingatkan juga seperti setiap masyarakat, Muslim di sini juga berdepan dengan cabaran dan mempunyai masalah sendiri.

Hakikatnya, masyarakat Muslim di serata dunia hidup dalam masa yang mencabar sekarang - dek pergolakan di Timur Tengah, pengaruh fahaman pelampau dan keganasan.

Ini diburukkan lagi dengan tindak balas terhadap pendatang Muslim oleh anggota politik tegar nasionalis di negara-negara Barat. 

- BERITAmediacorp/zm

Top