Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Yusof Ishak sedia juadah sihat bagi iftar; 'cheat day' seminggu sekali

Bulan Ramadan tahun ini, buat pertama kalinya Masjid Yusof Ishak bakal menyediakan juadah lebih sihat untuk berbuka puasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Yusof Ishak sedia juadah sihat bagi iftar; 'cheat day' seminggu sekali

Antara hidangan iftar Masjid Yusof Ishak. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERITAmediacorp: Bulan Ramadan tahun ini, buat pertama kalinya Masjid Yusof Ishak bakal menyediakan juadah lebih sihat untuk berbuka puasa.

Lebih menarik lagi, akan ada 'cheat day', iaitu sehari dalam seminggu, di mana para jemaah akan menikmati hidangan kegemaran ramai - beriani, kari ayam dan acar yang dimasak seperti biasa.

Ini adalah antara usaha Masjid Yusof Ishak untuk melakukan perubahan ke arah pemakanan lebih sihat, namun menerusi cara bertahap-tahap.

BERITAmediacorp berkesempatan ke dapur katerer - Adam's Corner, yang bekerjasama dengan masjid itu, untuk meninjau-ninjau apakah hidangan yang bakal disajikan dan bagaimana ia disediakan.

Sekali pandang, lauk ayam masak merah, beriani, acar dan ikan yang disajikan depan mata kami kelihatan seperti yang biasa dimakan di majlis-majlis keramaian.

Namun, ia sebenarnya versi lebih sihat yang dimasak pihak katerer.

Ketua Jabatan, Pembelajaran Islam dan Pendekatan Masyarakat Masjid Yusof Ishak, Ustaz Md Aiman Abd Khalid, berkata pihaknya hanya memulakan langkah menyediakan juadah lebih sihat untuk waktu berbuka setelah mendapatkan maklum balas masyarakat.

"Dua tahun ini kita ambil maklum balas berkenaan dengan jamuan-jamuan yang kami sediakan pada bulan Ramadan. Antara maklum balas yang kami terima ialah supaya makanan-makanan yang disediakan itu selain daripada ia sedap, enak dan sebagainya, perlu untuknya mempunyai ciri-ciri lebih sihat," Ustaz Md Aiman memberitahu BERITAmediacorp.

Beliau juga akur masjid perlu sama-sama memainkan peranan dalam menghidupkan budaya pemakanan sihat.

"Masyarakat yang datang di masjid ini daripada berbagai- bagai orang. Maka ada yang datang dalam keadaan mereka ini ada penyakit- penyakit yang tertentu jadi masjid bertanggungjawab untuk memastikan mereka datang ke masjid dalam keadaan baik rohaninya, baik juga daripada sudut kesihatannya," tambah beliau.

Sekalipun demikian, pihak masjid enggan melakukan perubahan secara mendadak.

Ia bekerjasama dengan penyedia makanan yang dipilih untuk lebih menitikberatkan cara satu-satu juadah berbuka puasa dimasak dan bukan menukar menunya sekaligus.

Ini termasuk kaedah membakar, memanggang, mengukus dan menumis-reneh.

Menu iftar Masjid Yusof Ishak. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERITAmediacorp diberitahu, ini adalah kali pertama Adam's Corner akan memasak juadah berbuka puasa untuk masjid, sebulan penuh.

Ini menguatkan lagi kesungguhan mereka untuk memenuhi permintaan Masjid Yusof Ishak bagi lauk-pauk yang lebih sihat namun masih dapat menepati cita rasa masyarakat.

"Kami ubah cara kami masak. Kita pakai kurang minyak, macam kita pakai lauk kita benda yang pakai minyak kita tidak, kita bakar, panggang. Para jemaah boleh jangkakan hidangan yang enak-enak tapi yang sihat untuk mereka makan," kata wakil dan tukang masak Adam's Corner, Encik Wan Yusoff.

Yang pasti, pendekatan itu juga dapat membantu mengurangkan pembaziran.

Ini terutama sekali bagi sebahagian masyarakat yang belum terbiasa dengan makanan seperti beras perang atau 'oats', misalnya.

"Kita tak nafikan bahawa masyarakat datang ke masjid, mereka ada jamuan-jamuan yang dah difikirkan. Kalau masjid, datang mesti ada makanan ini makanan itu dan sebagainya. Jadi kita tidak tukar menunya secara mendadak, tapi kita tukar secara bertahap-tahap," ujar Ustaz Md Aiman.

Dengan langkah permulaan itu, Masjid Yusof Ishak berharap untuk terus mempertingkat juadah-juadah lebih sihat yang disediakannya pada masa-masa akan datang.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan