Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos seru asatizah ganding bahu dengan Pejabat Mufti; bangunkan pemikiran pandu masyarakat Islam setempat

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyeru para asatizah supaya berganding bahu dengan Pejabat Mufti dan kepimpinan masyarakat lain untuk membangunkan pemikiran Islam setempat bagi memandu masyarakat Islam di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos seru asatizah ganding bahu dengan Pejabat Mufti; bangunkan pemikiran pandu masyarakat Islam setempat

Lebih 2,500 asatizah yang bertauliah di negara ini antara lebih 4,500 tenaga ahli pelbagai bidang agama yang membimbing masyarakat Singapura. (Gambar fail: MUIS)

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyeru para asatizah supaya berganding bahu dengan Pejabat Mufti dan kepimpinan masyarakat lain untuk membangunkan pemikiran Islam setempat bagi memandu masyarakat Islam di negara ini.

Usaha itu, menurut Encik Masagos, bertujuan untuk memastikan agar masyarakat Islam di Singapura dapat terus hidup dengan penuh keyakinan.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Hari Raya, yang diadakan di Hotel Mariott Tang Plaza pada Jumaat (14 Jun).

Encik Masagos menarik perhatian bahawa meskipun kita adalah satu-satunya masyarakat minoriti Islam tetapi kita berhasil melahirkan lebih 2,500 asatizah yang bertauliah di negara ini. Dan mereka adalah antara lebih 4,500 tenaga ahli pelbagai bidang agama yang membimbing masyarakat Singapura.

Dalam ucapannya, Encik Masagos berkata membangunkan sebuah 'Masyarakat Gemilang' memerlukan semangat kewarganegaraan, di samping keperibadian murni dan kemahiran kukuh.

"Nilai inilah yang akan memperkukuhkan ikatan masyarakat kita kepada warga lain dan meterai masyarakat kita sebagai aset penting kepada Singapura.

"Sebagai Masyarakat Gemilang, kita tidak harus puas hanya sekadar berintegrasi kerana tahu hanya sifat kewarganegaraan yang dapat menyemai kepercayaan antara warga demi mencipta kemakmuran untuk semua dan memperteguh jati diri kita sebagai anak watan Singapura," katanya.

Encik Masagos menambah: "Yang menjadi persoalan adalah apakah model kewarganegaraan orang Islam sebagai masyarakat minoriti? Ini adalah persoalan penting.

"Oleh kerana ia tidak banyak difikirkan, ramai masyarakat Islam yang hidup sebagai kaum minoriti, kurang faham bagaimana mereka dapat hidup secara rukun dan sejahtera apalagi dalam masyarakat majmuk sambil berpegang teguh pada ajaran Islam."

Maka itu, Encik Masagos berkata masyarakat Islam di Singapura harus dipandu oleh nilai-nilai keagamaan serta kemasyarakatan yang positif.

Namun menurut beliau, ia hanya akan dapat dihargai jika masyarakat dapat meraih manfaat daripada inisiatif serta langkah-langkah konkrit yang dilakarkan.

Encik Masagos berkata dengan keyakinan keagamaan itu, masyarakat Islam boleh sama-sama terus menyumbang kepada aliran perdana masyarakat Singapura serta mewujudkan sikap kewarganegaraan yang kukuh.

"Kita tidak lagi disibukkan dengan kebimbangan bahawa menghadiri upacara keagamaan teman atau mungkin saudara sekeluarga yang berlainan agama itu satu masalah keagamaan. Bahkan, kita turut sama mengucapkan selamat kepada mereka pada keramaian keagamaan atau budaya mereka.

"Keagamaan yang lebih jitu, akan meramaikan lagi kita yang aktif menyertai aktiviti sosial sama ada di tempat kerja, kejiranan mahupun sekolah kita," katanya.

Semasa berucap di majlis itu, Encik Masagos turut mengumumkan satu persidangan mengenai Masyarakat Gemilang yang bakal dianjurkan di Singapura pada tahun depan.

Ini memandangkan sistem dan model yang membantu masyarakat Islam mengecapi kehidupan yang makmur adalah sesuatu yang selalu dipantau dan dapat dikongsi bersama, menurut beliau.

"Sumbangan MUIS, para alim dan asatizah kita selama ini sangat kaya dari pengalaman, fatwa dan irsyad dan boleh dikupas dan dibangunkan bersama ulama arif dari setiap pelusuk dunia. Singapura boleh beri sumbangan yang bermakna kepada dunia," tambahnya.

Persidangan itu, antara lain, akan membahaskan panduan agama untuk masyarakat minoriti Islam menjalani kehidupan sebagai warga yang dihormati. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan