Ramadan & Syawal 2019

Images
  • masagos (1)
    Dari kiri ke kanan - CEO MUIS Esa Masood; Presiden Muis Mohammad Alami Musa; Pengurus Masjid Sultan Mohamed Patail, Menteri Masagos Zulkifli; Encik Mohamed Abdullah Alhabshee dan Mufti Mohamed Fatris Bakaram bersalam-salaman dengan para jemaah selepas solat Aidilfitri. (Gambar: MUIS)

Masagos: Perkukuh semangat masyarakat; eratkan hubungan sesama rakyat

SINGAPURA: Bersama-sama memikirkan bagaimana untuk terus menjalin hubungan yang bermakna dan erat dengan semua lapisan masyarakat.

Ini boleh dilakukan dengan "selalu menanam saham" untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama kita, tanpa mengira kaum atau agama, terutama sekali dalam persekitaran yang mencabar.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamed menekankan demikian semasa mengulas tentang khutbah solat Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan Mufti Negara, Dr Fatris Bakaram di Masjid Sultan hari ini (5 Jun).

Takbir bergema di Masjid Sultan dan kawasan di sekitarnya apabila masjid yang berdiri megah sejak 1824 ini menjadi tumpuan masyarakat Islam setempat untuk menunaikan solat hari raya pagi tadi.


Mereka datang dari pelbagai pelusuk negara ini.

Dalam kalangan 4,000 jemaah di sini ialah Presiden Halimah Yacob, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamed serta para pegawai kanan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Semasa menyampaikan khutbah berjudul 'Semangat Ramadan Yang Menyatukan Kita', Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menekankan bahawa kerencaman masyarakat bukan penghambat untuk menjalani kehidupan beragama yang bermutu.

Dr Fatris turut menekankan peri pentingnya untuk kita terus menghargai dan memelihara secara bersama – corak kehidupan beragama di Singapura di mana nilai-nilai murni agama yang dipegang teguh dapat dihidupkan dan dihayati dalam kehidupan masyarakat majmuk. Beliau juga menekankan, ketenteraman dan keharmonian yang dinikmati Singapura sekarang bukan sesuatu yang semula jadi.

“Lihat sahaja keadaan-keadaan dan tragedi yang berlaku di tempat-tempat lain di dunia pada hari ini. Bagaimana kepelbagaian, bagaimana perbezaan latar belakang boleh sahaja pada bila-bila masa membawa kepada salah faham dan kurang keyakinan serta kepercayaan di antara anggota-anggota masyarakat. Ia boleh menyebabkan perbalahan dan perpecahan,” ujar Mufti.

“Perbezaan dan kerencaman juga telah mencetuskan perasaan saling benci-membenci dan suasana hasut-meghasut di antara satu sama lain. Bahkan saudara-saudari sekalian, kita melihat dengan penuh rasa shahdu di dalam hati kita tidak kurang juga perbezaan-perbezaan itu telah menyebabkan keganasan dan pertumpahan darah yang tidak sedikit bilangannya,” kata beliau lanjut.

Dr Fatris menambah di samping kita mensyukuri nikmat ketenteraman dan keharmonian di negara kita, kita perlu terus berusaha memelihara keadaan ini.

"MENANAM HUBUNGAN BERMAKNA" BUKAN MESEJ BARU TETAPI KIAN PENTING

“Mufti telah menyatakan bahawa pentingnya kita mengeratkan hubungan kita sempena mesej Ramadan, sempena khutbah Hari Raya ini. Marilah kita sama-sama memikirkan bagaimana kita terus menanam hubungan yang bermakna dan erat dengan semua, Dan jika ada terkilan, jika ada terputus hubungan sambunglah ia kembali. Inilah mesej yang sangat penting bagi kita semua,” nasihat Encik Masagos.

Apabila ditanya mengapa mesej ini perlu ditekankan lagi, Encik Masagos akur ia bukanlah mesej baru, namun ia semakin penting dalam konteks hari ini.

“Dalam suasana kita selalu menghadapi tekanan ataupun aksi-aksi terorisme, ini merenggangkan hubungan antara satu sama lain. Tapi kalau kita selalu menanam saham untuk mengeratkan hubungan antara kita dengan orang lain tidak kira bangsa dan agama, ini akan menguatkan lagi apabila suasana kritikal berlaku pada sesiapa saja,” tekan Encik Masagos.

Encik Masagos turut melahirkan harapan agar kita dapat menitikberatkan hubungan yang harus kita terus jalin antara satu sama lain.  

- BERITAmediacorp/fz

Top