Ramadan 2019

Images
  • Kampong Glam Digitalisation
    Gambar hiasan kawasan Kampong Gelam. (Gambar fail: TODAY)

Majlis iftar besar-besaran unik; berbuka puasa sepanjang Arab Street

BERITAmediacorp: Suasana di Kampong Gelam biasanya bertambah meriah sempena Ramadan. Lebih istimewa lagi tahun ini, seluruh sepanjang jalan raya di Arab Street akan ditutup dari pukul 3.00 petang bagi satu majlis iftar beramai-ramai.

Majlis Iftar @ Arab Street anjuran Persatuan One Kampong Gelam (OKG) itu adalah sebahagian daripada acara Malam Amal Kampong Gelam, yang akan berlangsung pada Sabtu (11 Mei).

Seramai 300 penerima bantuan dari pelbagai pertubuhan juga dijemput menjadi tetamu majlis berbuka puasa besar-besaran itu, menurut OKG.

Diadakan buat kali kedua, majlis iftar itu dibuka kepada orang awam secara percuma. Namun bukan sahaja umat Islam, malah masyarakat lain turut dipelawa hadir sama untuk mengenali lebih dekat erti dan pengalaman berpuasa, selain mewujudkan suasana berbuka puasa yang unik di bawah langit malam.

Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (10 Mei), jalan raya di Arab Street antara North Bridge Road dengan Beach Road akan ditutup kepada kenderaan dari pukul 3.00 petang hingga 11.30 malam esok (11 Mei).

Hanya kenderaan polis dan kenderaan kecemasan dibenarkan masuk kawasan berkenaan sepanjang penutupan tersebut.

Menurut polis lagi, kenderaan-kenderaan yang didapati diletakkan di jalan raya itu ataupun menghalang laluan akan ditunda.  

- BERITAmediacorp/AI/fz

Top