Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahu tempah jahit sepasang baju kurung pada harga semurah S$14?

Jika anda gemar menempah baju kurung untuk Hari Raya, ini ada seorang wanita yang mengambil tempahan dengan harga semurah S$14 sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:

PHNOM PENH: Jika anda gemar menempah baju kurung untuk Hari Raya, ini ada seorang wanita yang mengambil tempahan dengan harga semurah S$14 sahaja.

Namun bukan di Singapura, anda perlu ke Kemboja untuk menikmati harga serendah itu.

BERITAmediacorp terbang ke Kemboja baru-baru ini untuk meninjau pasaran tempahan baju kurung dan pakaian muslimah, yang berpotensi berkembang di sana.

TERIMA TEMPAHAN BAJU KURUNG DI CENTRAL MARKET

Sekiranya anda singgah ke kawasan beli-belah Central Market di Phnom Penh, anda pasti rambang mata melihat pelbagai jenis cenderamata yang boleh dibawa pulang untuk orang-orang tersayang.

Namun siapa sangka antara beratus-ratus gerai di situ, terletak sebuah kedai yang bukan sahaja menjual kraf tangan, tetapi juga baju kurung Melayu dan telekung bagi para muslimah.

Dibuka sejak enam tahun lalu, Cik Azizah Fatel bagaimanapun bermula secara kecil-kecilan sahaja di rumah.

"Pada mulanya saya cuma jahit di rumah saja dan saya terima tempahan orang Malaysia, orang Brunei, orang Singapura tapi mereka bekerja di Phnom Penh. Kalau saya ambil baju kurung, dalam satu hari, paling laju saya boleh buat lima pasang. Saya ambil tempah satu pasang AS$10," ujar Cik Azizah.

Dengan bantuan para pemandu pelancong yang membawa mereka membeli-belah di rumahnya semasa berwisata, Cik Azizah menjadi lebih berani memperluaskan perniagaannya dari rumah ke kedai selepas lebih ramai pelancong Islam mengenali khidmatnya.

Cik Azizah berkongsi: "Kalau pelanggan pelancong, mereka akan jahit dengan saya tiga hari saja. Hari pertama mereka datang, mereka akan datang ukur dan beli-beli kain, lepas itu hari balik, (jika) mereka tak sempat ambil balik, saya akan datang terus ke hotel sebelum (mereka) balik."

Dengan hasrat membantu umat Islam menempah baju kurung serta mencari barangan muslimah, Cik Azizah bertekad mengekalkan harga tempahannya pada kadar yang rendah.

Ini bermakna, ‘harga Singapura’ tidak akan dikenakan terhadap mereka yang menempah baju dengan beliau.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Saya kena letak harga yang orang keliling saya jual macam mana, saya jual macam itu juga. Tak boleh jual harga mahal, nak bantu sesama muslim, tapi saya jual lebih mahal (pula)."

Turut menjual telekung yang disulam sendiri, Cik Azizah bukan sahaja berharap meluaskan kedainya, malah berazam mahu lebih banyak pelanggan membawa produknya menjangkaui Kemboja.

Mungkin selepas berbondong-bondong orang Singapura menempah baju Hari Raya di Malaysia, Indonesia dan Vietnam, mungkin pada masa depan Kemboja boleh menjadi satu lagi ’destinasi wajib’ untuk tempahan baju Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan