Ramadan & Syawal 2019

Images
  • baju percuma di stesen minyak shell
    Pakaian percuma di stesen minyak tersebut. (Gambar: Melaka Daily/Facebook)

Mahu sebar kemuliaan Ramadan, stesen minyak beri pakaian percuma

MELAKA: Selain ibadah solat, bulan Ramadan juga merupakan pintu untuk umat Islam mengumpul pahala dengan membantu golongan kurang bernasib baik.

Mengambil kesempatan itu, sebuah stesen minyak Shell di Jalan Mohd Zin Batu Berendam, Melaka tidak ketinggalan memanfaatkan bulan ini dengan memberi pakaian terpakai secara percuma, lapor Astro Awani.

Pengusahanya, Encik Zulkifly Jantan berkata, program tersebut merupakan inisiatif pihaknya untuk berkongsi rezeki melalui pemberian pakaian percuma yang boleh diambil sesiapa sahaja.

Beliau berkata kepada Astro Awani bahawa mereka yang datang ke stesen minyaknya boleh memilih pakaian mereka sendiri tanpa ada had dengan pelbagai jenis pilihan fabrik.

Terdapat pelbagai jenis pakaian untuk dewasa dan kanak-kanak. Semua pakaian dijamin elok untuk dipakai dan ada juga yang berjenama.

Ujar Encik Zulkifly, pada awalnya beliau bermula dengan hanya meletakkan pakaian anggota keluarga. Sambutan positif pelanggan menggalakkannya untuk meneruskan inisiatif berkenaan.

"Ini program kedua yang kita buat, yang pertama diadakan dua tahun lepas. Yang lainnya tahun ini, pelanggan pun banyak menyumbang sama, jadi lebih banyak pilihan pakaian.

"Saya rasa program ini akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada orang ramai," katanya kepada Astro Awani.

Selain itu, Encik Zulkifly turut mengambil inisiatif memberi 'kit buka puasa' percuma kepada pelanggan Islam yang datang ke stesen minyaknya antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 malam sepanjang Ramadan.

Penduduk, Intan Azwa Ismail, 49, berkata beliau tidak melepas peluang mengambil beberapa pakaian untuk anak-anak saudaranya.

"Selain saudara-mara dan anak buah, saya juga agihkan baju-baju ini kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan," kata suri rumah itu.

Bagi seorang penyumbang, Mohd Yani Ali, 48, dari Bertam Hulu, beliau berkata beliau memang berhasrat untuk menderma pakaian arwah isterinya yang meninggal dunia lima bulan lalu, sebelum dimaklumkan anak sulungnya yang mengetahui tentang program anjuran stesen minyak itu menerusi laman Facebook.

"Sesuai sangat sumbangan dapat dibuat ketika bulan Ramadan. Saya harap baju-baju arwah isteri dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya. 

- Agensi berita/SM/sm

Top