Ramadan & Syawal 2019

Images
  • esto 1
    Dua warga Muslim berpelukan di Pusat Islam Estonia pada pagi Raya 4 Jun 2019 (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)

Lebaran di Estonia ibarat perhimpunan 'PBB mini'

TALLINN: 'Kampungku indah nun jauh di sana; ayah serta bondaku'. Lirik lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham P Ramlee terdetik di hati wartawan BERITAmediacorp ketika menuju ke Estonia pada hari-hari terakhir Ramadan baru-baru ini.

Ini terutama sekali apabila mengingatkan bahawa jumlah penduduk Islam di negara Eropah Timur itu sangat sedikit - sekitar 5,000, berbanding jumlah keseluruhan penduduknya seramai 1.3 juta.

Namun keindahan pengalaman berpuasa dan berlebaran di Tallin, ibu kota Estonia bersama masyarakatnya yang begitu rencam, sedikit sebanyak mengubat rindu.

TIADA CUTI UMUM ATAU KELUARGA TAPI ADA PENGGANTI

Pagi Raya pada Selasa (4 Jun) disambut bersama sekitar 500 jemaah di Pusat Islam Estonia. Bangunan itu berfungsi sebagai satu-satunya masjid di negara yang mempunyai keluasan 62 kali ganda berbanding Singapura.


Selepas Solat Aidilfitri, saudara sesama Islam berpelukan antara satu sama lain sama seperti di Singapura. Bezanya adalah di Estonia, masyarakatnya lebih rencam - berasal dari negara-negara Afrika dan Asia, selain penduduk tempatan.

Ramai yang ke sana atas urusan kerja atau belajar dan menyambut Lebaran jauh dari keluarga. Maka itu, menjadi satu kelaziman untuk bersalaman dan bertegur sapa dengan orang yang tidak dikenali di pagi Raya.


Jika di Singapura ramai akan bergegas pulang untuk bersama keluarga dan memulakan kunjungan dari rumah ke rumah, di Pusat Islam Estonia pula para jemaahnya duduk sebentar menikmati kudapan dan manisan ringan yang disiapkan oleh para relawan dari sekitar 1.00 pagi sebelumnya, sebelum beredar ke tempat kerja atau sekolah.

SUKARELAWAN TUNJANG MASYARAKAT MINORITI ISLAM

Malah tugas dan bakti para sukarelawan yang giat di pusat itu bukan bermula sekadar pada malam Raya.

Sepanjang Ramadan, sekumpulan warga tempatan dan asing menyediakan juadah berbuka puasa dan mengemas pusat itu sebelum dikunjungi para jemaah.


Encik Muhammad Imran, 50 tahun, berasal dari Pakistan, sudah 10 tahun menjadi ketua tukang masak di pusat itu setiap Ramadan.

Setiap hari beliau memastikan juadah yang dihidangkan berzat dan seimbang dari segi karbohidrat dan protein seperti daging dan kekacang agar dapat membekalkan tenaga yang berpanjangan.

Ini penting memandangkan secara purata, masa berpuasa amat panjang iaitu sekitar 20 jam - dari 2.00 pagi hingga 10.00 malam.

PUASA PANJANG: PERSIAPAN TELITI, CUACA SEJUK MEMBANTU

Tempoh puasa lebih panjang di Estonia mungkin agak mencabar bagi masyarakat Islam yang berasal dari negara-negara Nusantara, yang rata-rata berpuasa sekitar 13 atau 14 jam.

"Mula-mula waktu tu terasa panjang, tapi memikirkan ada faktor lain seperti faktor cuaca tak membebankan sangat sebab sini tak panas," kongsi Encik Raja Azmir Raja Anuar, 50 tahun, seorang pengasas bersama syarikat pemula Expassador.

Tahun ini merupakan kali kedua warga Malaysia itu meluangkan Ramadan di Estonia. Beliau menambah, mengatur jadual masa untuk menyelitkan waktu-waktu rehat secukupnya juga membantu beliau bertahan puasa yang lebih panjang.

Turut bersetuju ialah Encik Sufyan Kamfa, 27 tahun, yang berasal dari Nigeria.


Encik Sufyan Kamfa memimpin solat tarawih di Pusat Islam Estonia (Gambar-gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)

Selain menyesuaikan jadualnya untuk merangkumi waktu rehat, beliau menekankan pentingnya pemakanan yang seimbang.

"Paling penting ialah mendapatkan cukup rehat, makan sahur. Kita harus makan cukup untuk bertahan sepanjang hari. Minum banyak air juga," kata pegawai sokongan perniagaan di Transferwise itu.

KEINDAHAN RAMADAN TETAP TERASA

Di sebalik cabaran yang dirasa awalnya, Encik Raja Azmir dan Encik Sufyan sama-sama berkongsi terdapat kenikmatan istimewa berpuasa di negara itu.

"Dari segi amal ibadatnya, lebih baik sebab kurang 'distraction'," kata beliau. "Tidak ada majlis buka puasa yang berlebih-lebihan, tiada bazar Ramadan nak pergi."

Tambah beliau lagi: "Tiada hidangan bufet 'all-you-can-eat'... Kalau ada pun tidak halal, jadi kita tidak boleh pergi."

Memandangkan jarak masa antara berbuka puasa dengan sahur hanya sekitar empat jam, ramai jemaah meluangkan masa di masjid sehingga waktu subuh.


Para jemaah turut bersahur beramai-ramai di Pusat Islam Estonia.

Ini satu suasana yang amat dihargai Encik Sufyan.

"Alhmdulillah, apabila ke masjid kita ada masyarakat yang sangat baik di sini, jadi ada rasa kekeluargaan," kata beliau yang tinggal di Estonia tanpa ahli keluarga.

"Kita mempunyai suasana yang baik, ia mengingatkan saya apa makna berpuasa sebagai masyarakat."

KAMPUNG HALAMAN TAK JAUH DI HATI

Karya Allahyarham P Ramlee dengan tepat menggambarkan kampung halaman 'nun jauh di sana' bagi warga asing di Estonia. Namun pada saat-saat seperti Ramadan dan Aidilfitri, ia jelas masih dekat di sudut hati mereka.


Di pagi Raya, Encik Raja Azmir (tengah) secara tidak sengaja ketemu dua lagi warga Malaysia yang bekerja di Estonia.

Ini lebih-lebih lagi apabila saudara mara dan sahabat handai kerap kali menyisipkan gambar-gambar suasana Ramadan dan Hari Raya di negara asal mereka.

"Kadang-kadang rakan-rakan hantar WhatsApp, tunjuk gambar juadah buka puasa di sana. Atau kongsi gambar bazar Ramadan di Instagram," ujar Encik Azmir.

Sambil tertawa, beliau berkata: "Saya menjawab kepada mereka, 'Janganlah seksa batin saya di sini'."

- BERITAmediacorp/tq

Top