Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Koridor flat HDB tingkat 14 ini menjadi 'luar biasa' dek inisiatif berbuka puasa

Ini satu acara berbuka puasa yang diadakan di koridor blok HDB sahaja. Lebih tepat lagi di koridor tingkat 14.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ini satu acara berbuka puasa yang diadakan di koridor blok HDB sahaja. Lebih tepat lagi di koridor tingkat 14.

Namun majlis iftar itu mendapat kunjungan - malah pujian menggunung - dari Menteri Pendidikan Ong Ye Kung kerana mencipta satu tradisi baru di blok HDB tersebut.

Sebuah keluarga Melayu, bekerjasama dengan dua lagi keluarga Melayu untuk menyediakan juadah iftar. Mereka kemudian menjemput tujuh lagi jiran bukan Muslim untuk sama-sama beriftar.

Walaupun itu satu daya usaha kecil, namun ia besar pengertiannya, kerana berusaha mengeratkan hubungan kejiranan dan hubungan antara kaum.

Tiada penyertaan badan-badan masyarakat. Tiada penyertaan agensi Pemerintah. Lantaran itulah Encik Ong tersenyum dan kagum dengan apa yang beliau saksikan. Ini cerita penuhnya...

CERITERA BLOK 104A CANBERRA STREET

Tiga jam sebelum waktu berbuka puasa pada Sabtu (11 Mei), aroma masakan dari dapur rumah sudah begitu mengancam di Blok 104A Canberra Street.

Manakan tidak, tiga keluarga Melayu sibuk menyiapkan juadah bagi acara berbuka puasa khas bagi jiran-jiran mereka yang tinggal di unit-unit flat yang sederet dengan rumah mereka.

'Tuan rumah' acara iftar itu pula ialah Encik Ridzwan Latif, seorang penolong pengurus pentadbiran yang berusia 30 tahun. Niat murninya hanya ingin mengeratkan lagi hubungan berjiran.

Mentelah lagi, para penduduk di estetnya baru berpindah ke BTO tersebut sekitar setahun lalu.

"Kita ingin memupuk semangat kampung. Di koridor, kita dapat mengenali satu sama lain dengan lebih rapat. Tempat ini kecil, kita berinteraksi di sini dan di sini sahaja," kata Encik Ridzwan.

APABILA 3 JIRAN MELAYU BERGOTONG-ROYONG, INI HASILNYA...

Walaupun acara iftar di koridor kedengaran seperti satu acara kecil, (ya bukan di bawah blok pun) ia juga memerlukan perancangan dan kerjasama pelbagai pihak.

Malah Encik Ridzwan terlebih dahulu merancang dengan dua keluarga lain bagi 'menu' acara iftar itu.

Berkat kerjasama dengan jiran-jiran lain, bermacam-macam hidangan dapat disajikan. Ada makanan Melayu seperti mee goreng dan ayam goreng rempah serta makanan Cina seperti Chee Chiong Fun. Ada juga makanan sihat.

"Ada yang nak masak mee dan masak ayam. Jadi saya fikir saya akan siapkan air dan manisan-manisan untuk berbuka puasa. Saya dan suami sama-sama menyiapkan dadih dan 'chia seed mango pudding' - satu manisan yang lebih sihat untuk berbuka puasa," kata Cik Nur Izzati Ismail, jiran Encik Ridzwan.

KINI JIRAN-JIRAN KAUM LAIN INGIN TERUSKAN TRADISI

Ketika azan berkumandang menandakan waktu berbuka puasa, tujuh keluarga bukan Melayu yang diundang, sudah berkumpul di koridor tingkat 14 blok tersebut, untuk menikmati air tangan jiran-jiran Melayu mereka.

Semangat kejiranan mereka ini begitu menyerlah sehingga berjaya 'memikat' Anggota Parlimen GRC Sembawang Ong Ye Kung, untuk turut hadir menjenguk acara berkumpul 'tidak rasmi' itu.

Melihat keakraban para tetangga Encik Ridzwan di acara tersebut, Encik Ong memuji-muji inisiatif beliau.

"Saya mesti ucapkan terima kasih kepada Ridzwan dan jiran-jirannya kerana menganjurkan acara buka puasa menarik ini dan mengundang seluruh koridor. Jadi semua jiran ada di sini. Ini sangat baik," kata Encik Ong kepada BERITAmediacorp tentang usaha dari penduduk untuk penduduk itu.

Bahkan, beliau berkata acara ini mendorong jiran-jiran bukan Melayu yang lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.

"Para tetangga Cina sudah mula bercakap tentang perayaan Tahun Baru Cina dan mereka ada rancangan untuk melakukan sesuatu (seperti) makanan Tahun Baru Cina. Dan kemudian mengundang semua orang untuk meneruskan tradisi baru ini yang dimulakan oleh aras (tingkat 14) ini," tambah Menteri Pendidikan itu.

PROAKTIF PUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

Bukan sahaja Encik Ridzwan dipuji Menteri Pendidikan Ong Ye Kung. Ramai jiran-jiran yang lain juga memuji beliau kerana aktif mencari cara untuk memperkukuh hubungan berjiran.

BERITAmediacorp diberitahu, semasa para penduduk Blok 104A Canberra Street itu baru berpindah, Encik Ridzwan yang membuka kumpulan sembang (chat group) di WhatsApp bagi kesemua 10 unit di lantai 14 itu.

"Saya suka semangat keakraban dan kampung sesama jiran. Kami semua sangat mesra. Kami malah ada kumpulan sembang untuk beri perkembangan tentang apa-apa yang berlaku di kejiranan kami," kata Encik Aylwin Quek, salah seorang jiran yang turut hadir di acara iftar itu.

Yang pasti, koridor tingkat 14 itu akan terus riuh. Tenaga yang dilaburkan dalam acara iftar tersebut pula menjadi pemangkin keharmonian kaum di kejiranan Canberra ini.

Bayangkan juga, ini baru sahaja satu koridor di satu blok. Tingkat 14 sahaja. Jika setiap koridor menjalankan 'tradisi baru' itu, semestinya Ramadan dan Tahun Baru Cina di Blok 104A Canberra Street akan dicemburui banyak blok-blok lain di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan