Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kian ramai orang bentang tikar, sahur tepi pantai di 'Car Food Sahur'

Trend bersahur dengan ditemani deruan angin dan bunyi ombak di Pantai Batu Buruk sudahpun dilakukan masyarakat Kuala Terengganu sejak lima tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kian ramai orang bentang tikar, sahur tepi pantai di 'Car Food Sahur'

Pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis makanan di 30 gerai dengan duduk bersila di atas hamparan tikar, bermula jam 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi di Pantai Batu Buruk, Terengganu, sepanjang Ramadan ini. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 May 2019 09:37PM Dikemas Kini : 19 May 2019 09:45PM

KUALA TERENGGANU: Trend bersahur dengan ditemani deruan angin dan bunyi ombak di Pantai Batu Buruk sudahpun dilakukan masyarakat Kuala Terengganu sejak lima tahun lalu.

Namun, kali ini, ia lebih meriah apabila terdapat penambahan dalam jumlah peniaga dan keunikan menu yang disediakan menerusi ‘Car Food Sahur’ hingga berjaya menarik ribuan pengunjung setiap hari.

Berdasarkan tinjauan agensi berita Bernama, kebanyakan pengunjung memilih untuk bersahur di tepi pantai dengan hanya beralaskan tikar dan sesetengah daripada mereka pula membawa meja kecil ‘ala Jepun’ dengan ditemani kaum keluarga serta sahabat handai.

PARA PENIAGA TIDAK BOLEH JUAL MAKANAN SAMA DENGAN YANG LAIN

Lebih istimewa lagi apabila peniaga di situ mengenakan pakaian santai mengikut tema tradisional iaitu berkain batik dan berbaju kurung Kedah bagi perempuan manakala lelaki pula berpakaian kemeja-T pagoda dan menyarung kain pelikat.

Seorang peniaga, Muhd Afiq Mohd Noor berusia 25 tahun, berkata kehadiran pengunjung semakin meriah dengan jumlahnya dianggarkan melonjak dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ia didorong oleh bilangan penjual yang bertambah di tapak itu yakni seramai 30 peniaga berbanding 25 peniaga tahun lalu.

Orang ramai beratur untuk membeli juadah bersahur di 'Car Food Sahur' dekat Pantai Batu Buruk, Terengganu. (Gambar: BERNAMA)

Orang ramai beratur untuk membeli juadah bersahur di 'Car Food Sahur' dekat Pantai Batu Buruk, Terengganu. (Gambar: BERNAMA)

"Saya telah berniaga di sini sejak tiga tahun lepas lagi dan pada tahun ini boleh dikatakan perniagaan saya agak laris di sini sehingga perlu menambah stok jualan sotong bakar setiap hari bagi menampung permintaan pelanggan yang datang bersahur.

"Alhamdulillah, dalam tempoh tiga jam, saya mampu menjual kira-kira 200 ekor sotong bakar gred A yang disiram bersama sos ala Thailand yang dijual dengan harga RM14 hingga RM20 seekor," kongsi Encik Muhd Afiq.

Qairun Natasya Ramli, seorang peniaga makanan ala barat yang berusia 19 tahun, pula berkata menjelang 12.00 tengah malam, keadaan di Pantai Batu Buruk akan mulai sesak sedang orang ramai memenuhi kawasan 'Car Food Sahur' untuk menikmati juadah kegemaran mereka secara santai bersama kawan dan keluarga.

Orang ramai beratur untuk membeli juadah bersahur di 'Car Food Sahur' dekat Pantai Batu Buruk, Terengganu. (Gambar: BERNAMA)

"Kami mula berniaga dari pukul 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi. Apa yang menarik di sini adalah setiap peniaga 'diwajibkan' menjual satu jenis makanan khas di gerai mereka. Menu itu tidak boleh sama dengan gerai yang lain dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung,” ujar Cik Qairun Natasya.

APA KATA PENGUNJUNG?

Seorang pengunjung, Cik Hamim Umairah Abd Latif, 26 tahun, berkata beliau mengetahui tentang kewujudan 'Car Food Sahur' apabila ia menjadi tular di laman sosial Facebook sejak minggu lalu.

Bagi Muhammad Azizi Abd Aziz, 23 tahun, pula, 'Car Food Sahur' memberikan lebih banyak pilihan kepada golongan muda sepertinya untuk menikmati juadah bersahur di samping merapatkan silaturrahim bersama rakan-rakan dan anggota keluarga.

"Bagi perantau seperti saya, berada di 'Car Food Sahur' dapat mengurangkan kerinduan suasana bersahur bersama keluarga yang berada jauh di kampung halaman di Tumpat, Kelantan,” katanya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan