Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemeriahan Syawal tiba di IMH

Demi memberi sekalung budi kepada para pekerja kesihatan di Institut Kesihatan Mental (IMH), dan sekali gus menunjukkan kasih sayang kepada para pesakit di pusat tersebut, satu majlis Perjumpaan Hari Raya dianjurkan pada Selasa (18 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Demi memberi sekalung budi kepada para pekerja kesihatan di Institut Kesihatan Mental (IMH), dan sekali gus menunjukkan kasih sayang kepada para pesakit di pusat tersebut, satu majlis Perjumpaan Hari Raya dianjurkan hari ini (18 Jun).

Ia amat bersejarah kerana diadakan buat pertama kalinya.

Hasil kerjasama kakitangan IMH, suasana perayaan seperti di rumah dihidupkan bagi memberikan pengalaman manis kepada para pesakit yang sebahagian tidak dapat pulang ke rumah untuk beraya.

Tujuannya untuk mengeratkan silaturrahim antara 250 kakitangan berbilang budaya dan juga dengan para pesakit IMH yang hadir.

"Tujuan kami memberikan mereka kegembiraan kerana kebanyakan mereka tidak boleh pulang ke rumah jadi mereka hanya tonton cerita-cerita Hari Raya di Suria dan juga mereka nampak versi ulangan menyambut Lebaran jadi mereka juga mahu tahu juga apa," kata Penolong Jururawat Klinisian dan juga pengerusi jawatankuasa penganjur acara, Encik Hendra Ramli.

JASA KAKITANGAN DIKENANG, KEGEMBIRAAN JELAS TERPANCAR

Turut hadir memberi penghargaan kepada para kakitangan di institut ini ialah Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

"Saya juga di sini untuk mengiktiraf sumbangan kakitangan, jururawat, pekerja dan sebagainya kerana kita tahu apabila pesakit itu tertekan, situasinya mungkin amat mencabar.

"Tapi saya gembira kakitangan kita dengan latihan mereka dengan cara pendekatan mereka yang baik dan profesional, mereka dapat membantu memberi sokongan kepada para pesakit," jelas Encik Amrin yang kelihatan segak berbaju Melayu.

Pengurus Jururawat Kanan, Cik Alina Ismail pula amat terharu dengan sokongan yang diterima.

"Selama saya bertugas di sini, ini adalah kali pertama kami mengadakan perjumpaan Hari Raya di IMH dan saya rasa berbesar hati dapat meraikan acara ini bersama kakitangan IMH dan pesakit-pesakit kami yang tak berpeluang untuk merayakannya di rumah," kata Cik Alina, yang sudah berkhidmat di sini selama 22 tahun.

AKAN DATANG: PERSIDANGAN ANTARABANGSA TINGKATKAN KESEDARAN PENYAKIT MENTAL

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IMH, Prof Chua Hong Choon, stigma terhadap orang yang menghidap penyakit mental masih lagi wujud dalam masyarakat am Singapura.

Maka itu, IMH akan mempergiatkan lagi usaha meningkatkan kesedaran tentang penyakit mental kepada masyarakat

"Jadi di bulan Oktober tahun ini, IMH dan agensi-agensi lain akan mengadakan persidangan antarabangsa tentang antistigma terhadap penyakit mental dan kita harap orang ramai dan agensi-agensi lain dapat menyokong usaha kita," kata Prof Chua.

Seperti majlis perjumpaan Hari Raya yang biasa diadakan, para hadirin disajikan dengan pelbagai santapan yang enak serta acara hiburan.

Ini termasuk persembahan nyanyian oleh pelakon Haizad Imran yang juga merupakan seorang jururawat sepenuh masa, selain persembahan tarian Melayu oleh sekumpulan pesakit di sini.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan