Ramadan & Syawal 2019

Images
  • Kassim (10)
    Keluarga besar 4 generasi Haji Kassim Sultan. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Keluarga besar 4 generasi riuh-rendah beraya sebumbung

BERITAmediacorp: Kemeriahan Lebaran dirasakan di merata negara hari ini (5 Jun).

Ini termasuk sambutan Aidilfitri oleh sebuah keluarga empat generasi di Jurong West.

BERITAmediacorp menjenguk bagaimanakah suasananya bila keluarga besar 100 anggota itu meraikan Hari Raya beramai-ramai.

Sejak tengah hari lagi, tetamu bertali arus tiba di rumah Haji Kassim Sultan.

Deretan kasut-kasut di luar rumah memberi gambaran awal, betapa segenap ruang rumah flat empat bilik itu dipenuhi tetamu. Dari yang paling tua, iaitu Haji Kassim sendiri berusia 99 tahuh hinggalah yang paling muda baru berusia empat minggu.

Riuh-rendah seisi rumah dengan perbualan dan gelak ketawa mereka. Mana tidaknya, empat generasi menyambut Hari Raya di bawah satu bumbung.


HARAP TRADISI KUNJUNG MENGUNJUNG DITERUSKAN

Hubungan erat antara setiap anggota keluarga ini, satu nikmat yang tidak terhingga bagi anak-anak Haji Kassim.

Besar harapan mereka agar tradisi kunjung mengunjung keluarga ini dapat diteruskan setiap tahun.

"Yang paling selalu kita tunggu-tunggukan. Hari Raya ini kita dapat berkumpul semua sekali sebab keluarga kita mungkin dalam 100 orang gitu kalau campur empat generasi. Jadi inilah masanya yang kita boleh jumpa.

"Kita teruskan tradisi kita ini berkunjung. Jadi tiap-tiap tahun kalau dapat macam ini memang 'best' lah," anak ke-13, Encik Bahrin Kassim memberitahu BERITAmediacorp.


Encik Bahrin Kassim, anak ke-13.

13 ANAK, 32 CUCU & 38 CICIT

Haji Kassim mempunyai 13 orang anak, 32 cucu dan 38 cicit, dengan lagi 2 cicit bakal dilahirkan tahun ini.

"Sangat gembira. Semua datang cicit-cicit semua datang. Gembira. Harapan saya umur panjang lagi. Dapat melihat cicit lagi," kata Haji Kassim.


Ditanya apa yang menyeronokkan apabila beraya bersama keluarga besar mereka, ini jawapan cicit-cicit Haji Kassim:

"Saya suka kerana saya boleh jumpa kawan-kawan saya dan keluarga-keluarga saya," kata Zakyy Rizan.


Zakyy Rizan.

"Saya dapat duit. Saya dapat makan, dapat main," menurut Afiq Mahader.


Afiq Mahader.

"Kita sering jumpa. Bila hari Raya ada banyak sepupu semua boleh jumpa, boleh ada hubungan lebih erat," Sabrina Mahader memberitahu BERITAmediacorp.

Sabrina Mahader.

DERMAWAN, TABUR BAKTI DI MASJID AL-HUDA

Haji Kassim merupakan generasi perintis yang banyak menabur bakti di Masjid Al-Huda, yang terletak di Kampung Tempe, tempat lahirnya.

Beliau mula aktif berkhidmat sebagai sukarelawan di masjid tersebut dari tahun 1968.

Beliau juga dikenali sebagai seorang dermawan yang pernah menderma kepada dua buah masjid hasil jualan rumah privetnya pada tahun 2014.


Haji Kassim bersama isterinya Hajjah Tuminah Siraj. 

Sikapnya yang gemar berbakti kepada masyarakat sebagai relawan juga diwarisi oleh anak dan cucu-cucunya hingga mereka sekeluarga pernah menerima Anugerah Keluarga Teladan Masjid pada 2016.

Malah, pada usia 99 tahun sekarang, Haji Kassim masih lagi menyumbang tenaga sebagai sukarelawan di Masjid Al-Huda.

Anak-anaknya juga dibesarkan di Kampung Tempe.

KENANGAN BERAYA DI KAMPUNG TEMPE

Apabila keluarga berkumpul, inilah juga masa paling seronok untuk mengimbau kenangan manis beraya di kampung itu semasa kecil dahulu.

"Pada Hari Raya tahun 50-an dan 60-an suka jugalah bermain mercun dulu. Tiada terhadnya. Juga bila bertemu pada Hari Raya itu, bila nak masak ayam itu harus kejar ayam. Di kampung. Pasal apa? Ayamnya tinggal di atas pokok. Jadi kita terpaksa kejar ayam-ayam itu," anak ketiga, Encik Abdul Rahim Kassim memberitahu BERITAmediacorp.


Encik Abdul Rahim Kassim, anak ketiga.

Bagi Encik Bahrin pula, beliau amat mengingati saat-saat keluarganya berkumpul di Masjid Al-Huda untuk menunaikan solat Hari Raya.

"Di kampung kita semua pergi ke masjid bersama semasa solat sunat Hari Raya. Balik kita jumpa lagi makan bersama-sama dengan juadah yang mak masakkan. Mak masak sendiri selalunya. Semua masakkan daripada mak," ujar Encik Bahrin.


HARAPAN HAJI KASSIM SULTAN

Meskipun berusia 99 tahun, Haji Kassim dikurniakan kesihatan yang baik. Mata, telinga dan ingatannya masih tajam.

Malah, menurut anaknya, Haji Kassim juga masih mampu berpuasa penuh dalam bulan Ramadan.

Ia menjadi lebih bermakna apabila dinikmati bersama keluarga.

Berkongsi harapan beliau buat keluarga besarnya itu, Haji Kassim berkata:

"Saya harap keluarga saya selalu bahagia dan gembira." 

- BERITAmediacorp/nk

Top