Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kelazatan bubur lambuk dan bubur lemak penyeri Ramadan

Kalau cakap pasal bubur selalunya dua benda yang terlintas di fikiran, bubur nasi dan bubur manis. Ini tip memasak bubur dan dua resipi khas yang sesuai dibuat juadah sahur atau berbuka puasa Ramadan ini!

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kalau cakap pasal bubur selalunya dua benda yang terlintas di fikiran, bubur nasi dan bubur manis.

Setiap tahun setibanya bulan puasa pastinya ramai yang tidak mahu terlepas peluang untuk mencuba beraneka bubur seperti bubur lambuk dan bubur lemak yang disediakan untuk diagihkan kepada orang ramai di masjid-masjid. Malah, hidangan ini turut menarik perhatian dan digemari bukan Islam.

Menariknya, setiap masjid mempunyai cara penyediaan bubur yang tersendiri dan rasanya juga berbeza-beza. Sajian bubur lambuk dan bubur nasi bukan saja popular di Singapura, ia turut menjadi kegemaran ramai tidak kira usia di negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia.

Menepati perut kosong yang berpuasa lebih 12 jam, bubur merupakan antara makanan sihat yang ‘mesra’ sistem pencernaan yang baik. Ia dimasak dengan menggunakan bahan seperti campuran rempah, kacang, sayur-sayuran, hirisan daging, udang dan ayam. Sajian seperti inilah yang menjadi pilihan apabila tekak terasa ingin menjamu sesuatu yang ringan, lazat dan lembut tetapi mengenyangkan.

Tambahan lagi, kandungan karbohidratnya dapat membantu meningkatkan lagi tenaga kerana ianya berasaskan beras. Selain tenaga, bubur juga dapat menambahkan selera dan membantu mengimbangi rasa pemakanan seperti pedas dan manis.

Encik Joha Hassan (Gambar ihsan: Joha Hassan)

Pakar masak Encik Joha Hassan, atau Chef Papajoh.

Menurut pakar masak, Encik Joha Hassan yang juga dikenali sebagai Chef Papajoh di Instagram (IG) dan Facebook (FB), penyediaan bubur lambuk dan bubur nasi amat mudah, bahan-bahannya terserah kepada cita rasa masing-masing.

“Tiada banyak perbezaan antara kedua-dua bubur ini. Untuk bahan bubur lambuk, selain menggunakan santan ia juga boleh digantikan dengan stok rebusan ayam, daging, udang atau sayur-sayuran. Ia bukan saja pilihan yang lebih sihat, tapi rasanya juga menyelerakan,” kongsi Encik Joha.

Berusia 58 tahun, beliau merupakan bekas pegawai bank yang sudah bersara dan pernah bertugas di restoran IndoChili Indonesian Restaurant dan Cucina Restaurant & Catering. Secara ringkas minatnya dalam masakan bermula sejak usia 18 tahun dan ia kekal menjadi hobinya hingga hari ini. Tidak lokek berkongsi resipi, Encik Joha kerap memuat naik gambar-gambar masakannya di FB dan IG.

Bubur lemak udang (Gambar ihan: Joha Hassan)

Bubur lemak udang (Gambar-gambar ihsan: Joha Hassan)

Dalam masakan bubur, beliau turut berkongsi cara untuk mendapat tekstur bubur yang lembut, aroma harum dan rasa enak.

“Saya memilih untuk gunakan beras Jasmine sebab berasnya wangi dan lembut. Kalau inginkan bubur yang beraroma lagi menyelerakan, lebihkan bahan-bahan dedaun dan rempah ratus.

“Contohnya serai, daun pandan, daun ketumbar, rempah empat sekawan seperti buah pelaga, kayu manis, bunga lawang dan cengkih serta rempah kari atau beriani yang memainkan peranan penting dalam bahan-bahan bubur. Hasilnya gerenti lebih sedap,” kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Bagi yang sedang membuat kompilasi resipi-resipi yang ingin dicuba untuk berbuka, bolehlah mencuba dua resipi bubur yang dikongsi oleh Encik Joha ini. Bukan saja persiapannya mudah, modal untuk membeli bahan-bahannya juga berbaloi kerana kurang $10 untuk sajian 6 – 8 orang.

Bubur lambuk daging (Gambar ihsan: Joha Hassan)

Bubur lambuk daging.

Yang pasti, hidangan bubur untuk berbuka berkhasiat dan dapat menjadi penyeri Ramadan!

RESEPI BUBUR LAMBUK DAGING

Bahan-bahannya
300gm daging cincang
2 cawan beras (4 mangkuk air)
1 biji bawang besar   ]
2 ulas bawang putih  ] dikisar
2.5cm halia                 ]

2 biji kentang             ] dipotong dadu kecil
1 batang lobak           ]
1/2 mangkuk kacang tanah (buang kulit)
200ml santan (rendah lemak)
2 sudu kecil rempah kari daging beriani
2 tangkai daun sup (dihiris kasar)
2 helai daun pandan (diikat)
Garam secukup rasa

Bahan hiasan
2 sudu makan bawang goreng
Telur dadar (dihiris)
1 biji cili hijau & merah (dihiris)

Cara membuatnya
Panaskan minyak dalam periuk. Masukan semua bahan yang dikisar, daging cincang dan daun pandan. Tumis dan goreng sementara hingga bawang layu dan biarkan daging masak tiga suku. Tuangkan beras dan air. Garam secukup rasa.

Bila air sudah mendidih masukkan kacang, kentang dan lobak. Biarkan beras masak menjadi bubur. Jika bubur menjadi kering tambahkan sedikit air. Masukkan rempah kari. Gaul rata hingga sebati. Biarkan masak, kacau perlahan-lahan agar bubur tidak melekat pada periuk. Sebelum dihidangkan, hias dengan bahan-bahan hiasan.

RESEPI BUBUR LEMAK UDANG

Bahan-bahannya
1 cawan beras cuci bersih (2-3 mangkuk air secukupnya)
12 ekor udang segar (buang kepala dan kulit) tinggalkan kulit ekornya
Rebus kepala dan kulit udang untuk dapatkan semangkuk stok. Kalau tidak mahu gunakan stok udang, gantikan dengan perasa kiub ayam.
1 batang lobak (dihiris mancis)
2.5cm halia (dititik)
Garam secukup rasa
100ml santan rendah lemak (opsyenal)

Bahan hiasan
2 tangkai daun sup (dihiris halus)
2 sudu makan bawang goreng
Telur dadar (dihiris)
1 biji cili merah (dihiris)
Kicap manis atau masin (opsyenal)

Cara membuatnya
Masukkan beras dan air di dalam periuk nasi elektrik. Masukkan udang, halia, lobak, sedikit daun sup dan garam secukup rasa. Tuangkan rebusan stok udang atau kiub ayam. Jika inginkan bubur berlemak, masukkan santan. Biarkan bubur masak. Sebelum dihidangkan, hias dengan bahan hiasan. Enak dinikmati hangat.

4 TIP MASAK BUBUR

  • Pastikan air berlebihan dan mencukupi agar bubur tidak kering dan keras.
  • Apabila masak bubur gunakan api yang tidak terlalu besar supaya air tidak cepat kering.
  • Gaul bubur menggunakan senduk setiap 5-10 minit agar bahan-bahannya sebati dan bubur tidak mudah melekat pada periuk.
  • Masak bubur sampai mendidih dan kemudian biarkan selama 30 minit untuk bubur menjadi lebih lembut. 
Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan