Ramadan 2019

Images
  • jkju healthy eating food
    Hidangan iftar sihat yang disediakan Masjid an-Nahdhah di bawah inisiatif Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU). (Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost)

Jumlah beras perang diagih ke masjid naik 2 kali ganda; masyarakat kian sokong usaha makan sihat

SINGAPURA: Jumlah beras perang yang diagihkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) kepada 16 masjid tahun ini meningkat dua kali ganda.

Jumlahnya lebih 1,100 kilogram berbanding yang diagihkan kepada 15 masjid tahun lalu.

Ini juga menunjukkan masjid-masjid tempatan semakin giat menyediakan juadah berbuka puasa yang lebih sihat untuk para jemaah.

Antaranya enam masjid di bawah inisiatif Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU), iaitu Masjid Darul Makmur, Masjid Al-Istighfar, Masjid Al-Mawaddah, Masjid As-Syafaah, Masjid Yusof Ishak dan Masjid An-Nahdhah.


Pegawai Masjid an-Nahdhah, Ustaz Muhammad Luqman Hakim Roslan memberitahu BERITAmediacorp, ini bukanlah kali pertama masjid itu menyediakan juadah berbuka yang lebih sihat.

Namun sebelum ini, pendekatannya bertahap-tahap memandangkan ada sebahagian jemaah yang mungkin masih belum biasa dengan hidangan yang lain daripada biasa.

Tahun ini, di bawah kempen JKJU juga, Masjid an-Nahdhah mempergiat usahanya dan berharap ia akan dapat diteruskan pada jangka panjang.

"Para jemaah juga boleh jangkakan perkara ini akan berterusan. Kita bukanlah ingin memaksa para jemaah untuk jadi lebih sihat tetapi ini adalah satu mesej bagi para jemaah bahawa kita perlu menjaga badan kita," kata

AMRIN AMIN SINGSING LENGAN BANTU SIAPKAN JUADAH SIHAT

Hari ini (10 Mei), Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin turun padang ke Masjid an-Nahdhah dan menyingsing lengan menyiapkan juadah-juadah iftar di sana.

Beliau juga berpeluang menikmati sendiri hidangan iftar yang bukan sahaja lebih sihat namun masih dapat memancing selera masyarakat.


Encik Amrin dan para jemaah yang berbuka puasa di masjid itu dihidangkan nasi beras perang yang dicampur beras basmati, ayam panggang lemon dan sayur-sayuran.

"Ini menunjukkan jika ada kemahuan ada jalan. Saya gembira pakar-pakar telah mengeluarkan resepi-resepi yang baik.

"Saya gembira kerana sokongan kita dapat hari ini daripada masjid-masjid, daripada rakan-rakan masyarakat, qaryah dan ramai lagi. Jadi saya harap Ramadan ini kita dapat membuka lembaran baru, kita dapat memulakan gaya hidup sihat," kata Encik Amrin yang juga Setiausaha Parlimen Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri.

HPB sudah memulakan inisiatif memberikan beras perang dan minuman kurang gula kepada masjid-masjid di bawah kempen JKJU menjelang bulan Ramadan sejak tahun lalu.

Masjid-masjid itu kemudian diberi kebebasan untuk bersama-sama katerer masing-masing merancang menu lebih sihat, menggunakan beras dan minuman kurang gula tersebut.

"Ini sebenarnya seruan agama. Kita lihat jika kita ada kesihatan ini memberi kita keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai bapa, sebagai anak dan peranan-peranan yang lain.Jadi saya gembira yang masyarakat kita semakin ramai menyahut cabaran ini, mendengar mesej-mesej ini," ujar Encik Amrin. 

- BERITAmediacorp/NK/fz

Top