Ramadan & Syawal 2019

Images
  • jet pejuang
    Angkatan Tentera Udara Indonesia mengumumkan ia akan menyertai tradisi mengejut para penduduk untuk bangun sahur sepanjang bulan Ramadan ini. (Gambar: TNI-AU/Twitter)

Jet pejuang latih tentera sambil kejut penduduk Jawa bangun sahur

JAKARTA: Angkatan Tentera Udara Indonesia (TNI-AU) mengumumkan ia akan menyertai tradisi mengejut para penduduk untuk bangun sahur sepanjang bulan Ramadan ini.

Menulis di laman Twitternya, TNI-AU menyatakan latihan jet pejuang akan dilakukan di beberapa bandar di Pulau Jawa seperti Surabaya di Jawa Timur, Surakarta, Klaten dan Sragen di Jawa Tengah serta Yogyakarta.

"Insyaallah, akan diadakan lagi "tradisi" membangunkan sahur pakai pesawat tempur," menurut catatan tersebut.


Sementara itu, laman kompas.com menukil jurucakap TNI-AU, Kolonel Sus M Yuris, sebagai berkata misi tersebut bukan semata-mata untuk mengekalkan tradisi mengejut penduduk bangun sahur. Namun sebaliknya adalah untuk memastikan pasukan juruterbang mereka tidak melakukan latihan ketika sedang berpuasa.


Menurut pakar perubatan, waktu menjelang subuh adalah masa yang sesuai untuk juruterbang jet pejuang berlatih.

"Mereka disarankan supaya tidak berlatih selepas pukul 10.00 pagi bila paras gula dalam darah mula turun pada kadar yang cepat.

"Juruterbang disyorkan tidak mengendalikan jet pejuang ketika paras gula dalam darah mereka rendah," ujar jurucakap itu, seperti dipetik oleh kompas.com.

Beliau turut menjelaskan, mengejutkan para penduduk bangun sahur dan berlatih merupakan satu "misi gabungan".

Menurut laporan itu lagi, pogram latihan menjelang subuh itu dimulakan oleh TNI-AU sejak beberapa tahun lalu dengan menggunakan dua jenis jet pejuang, iaitu F-16 dan T50i.ย 

- Agensi berita/AI/ai

Top