Ramadan & Syawal 2019

Images
  • Ramadan brothers
    Sahlan Abdoul Halim, 12, dan adiknya Shahir, 9, yang berasal dari bandar Hama di Syria. (Gambar: Bernama)

Impian 2 beradik yatim sambut Ramadan kini tinggal harapan

IDLIB: Impian dua beradik lelaki untuk menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelang bersama kedua-dua ibu bapa mereka kini hanya tinggal harapan apabila si ayah terkorban akibat ditembak rejim Basyar Al Assad hujung tahun lalu.

Kedua-dua beradik, Sahlan Abdoul Halim, 12, dan adiknya Shahir, 9, yang berasal dari bandar Hama, kini hanya mampu meraikan bulan mulia itu di samping mengharungi hari-hari seterusnya bersama ibu mereka di Kem Eman Yatim.

"Kami masih ingat impian arwah ayah kami, Abdoul Halim Hamden, untuk menyambut Ramadan sebelum menyambut Aidilfitri di kampung ibu kami di Aleppo. Namun, ayah akhirnya syahid ditembak di dada ketika tentera rejim menyerang kampung kami pada tengah malam 6 Oktober tahun lalu.

"Ketika serangan itu, seramai 60 orang gugur syahid dan kami bertiga terpaksa melarikan diri di kampung berhampiran sebelum kami akhirnya ditempatkan di kem ini atas bantuan pihak Turkiye Diyanet Foundation (TDV) awal tahun ini," katanya kepada agensi berita Bernama ketika ditemui di kem itu di daerah Ad Danah.

Namun, Sahlan berkata walaupun beliau kini menggalas tugas sebagai tunjang keluarga, beliau perlu kuat demi melindungi ibu dan adiknya serta memasang impian untuk memberikan mereka kehidupan lebih bermakna apabila beliau dewasa nanti.

Adiknya, Shahir, pula ternyata amat merindui kelibat arwah ayahnya yang dahulu bekerja di sebuah kilang roti di Hama, dan kini beliau tidak ingin lagi menjamah roti kerana ia akan membuatkan kanak-kanak kecil itu terkenang memori indah bersama arwah ayahnya itu.

"Setiap malam sewaktu ayah balik bekerja dari kilang, pasti dia akan membawa sebungkus plastik berisi roti Saj (sejenis roti makanan tradisional rakyat Syria) dan kini saya tidak ingin lagi menjamah roti itu walaupun disuap oleh ibu.

"Saya cuma berharap Ramadan kali ini dapat diraikan bersama abang, ibu dan juga kawan-kawan di kem ini dengan aman tanpa perlu risau akan bedilan bom ataupun diserang rejim secara tiba-tiba," katanya.

Kedua-dua kanak-kanak itu ditemui ketika 11 orang daripada delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) tiba di kem pelarian itu bagi menyampaikan bantuan berupa daging kambing yang telah dipek dalam plastik, tepung gandum, selimut tebal, serta barangan bantuan lain kepada lebih 100 keluarga yang berlindung di kem itu.

- BERNAMA/AI/ai

Top