Ramadan & Syawal 2019

Images
  • sy1
    Cik Jainah Awang perlu menjaga seorang anak istimewa dan dua orang cucunya. (Gambar: BERITAmediacorp)

Ibu tunggal sara anak istimewa dan 2 cucu; sambut Aidilfitri serba sederhana

SINGAPURA: Dalam ramai orang sibuk membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri, ada juga dalam kalangan masyarakat kita yang menyambut Hari Raya dengan begitu serba sederhana.

Itulah yang dilalui seorang penghuni flat sewa lanjut usia, yang juga perlu menjaga seorang anak istimewa dan dua orang cucunya.

Tatkala Lebaran menjelma, rasa pilu begitu dirasakan Cik Jainah Awang, seorang ibu tunggal berusia 70 tahun, dek teringatkan suami yang sudah meninggal dunia.

"Cik beli baju Hari Raya yang terakhir sekali waktu itu ada pak cik, 18 tahun dulu.

"Benda tu tak akan datang lagi dan itulah kali terakhir dengan arwah beli baju dekat Geylang," kongsi Cik Jainah, sambil terkenang saat-saat bahagia bersama suami tercinta.


Sejak kehilangan suaminya, beliau berpindah ke rumah flat sewa satu bilik di Marsiling, menjaga seorang anak istimewa berusia 40 tahun dan dua orang cucu tersayang berusia 9 dan 19 tahun.

Sungguhpun hidup dalam serba kekurangan, Cik Jainah yang mempunyai tiga lagi anak perempuan, amat bersyukur kerana untuk Lebaran tahun ini, rumahnya diserikan dengan sumbangan, habuan makanan, langsir baru dan kuih-muih Hari Raya dari badan Melayu/Islam seperti MUIS dan Jamiyah.

KESUSAHAN BUKAN PENGHALANG UNTUK BERSEDEKAH

Seorang yang berjiwa pemurah, rezeki yang diterima, turut dikongsi bersama jiran tetangga. Salah seorang jirannya ialah Cik Tuminah Ahmad, 67 tahun, yang tinggal seorang di unit bersebelahan.

"Ni (Cik Jainah) pun dia dah 15 tahun lebih kurang gitulah dia duduk sini.

"Kita takda masalah lah apa-apa dia datang tengok saya, saya datang pun tengok dia dan bagi lauk semua, Alhamdulillah saya terima saja," jelas Cik Tuminah yang kerap membantu menjaga anak dan cucu Cik Jainah semasa beliau keluar melakukan kerja-kerja sukarela di kawasannya.

Budi baik Cik Jainah, dikenang dan turut dibalas jiran-jirannya yang lain.


Berkongsi tentang persiapan hidangan lauk-pauk Hari Raya, beliau berkata: "Semalam saya ada bagi daging kepada jiran dan dia berkata - ‘Tak apa kau tak payah masak, nanti lepas Maghrib aku hantar kepada kau’.

"Jadi saya pun menunggulah kedatangkan kawan saya yang bertahun-tahun akan hantar lauk untuk saya," tambah Cik Jainah yang cukup bersyukur dengan kebaikan jiran-jiran tetangganya.

RINDUKAN ANAK YANG JAUH DARI PANDANGAN

Semasa kru BERITAmediacorp bertemu dengannya, jelas terlihat disebalik raut wajahnya yang tenang, ibu tunggal ini hanya punya satu keinginan semasa Hari Raya ini.

"Harapan makcik besok (5 Jun) Hari Raya, makcik cuma nak anak-anak makcik datang tengok mak.

"Walaupun makcik tak ada apa di dapur, jika makcik ada rezeki, makcik akan pesan piza atau apa-apa untuk kedatangan anak dan cucu makcik," luah Cik Jainah sambil mengusap air matanya. 

- BERITAmediacorp/aq

Top