Skip to main content

Iklan

Iklan

Habuan $100,000 diagihkan kepada lebih 600 pesakit barah Persatuan Ain

Tahun ini sekitar 600 pesakit barah dan keluarga mereka di bawah naungan Persatuan Ain, mendapat agihan tunai berjumlah $100,000 bagi persiapan Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahun ini sekitar 600 pesakit barah dan keluarga mereka di bawah naungan Persatuan Ain, mendapat agihan tunai berjumlah $100,000 bagi persiapan Aidilfitri.

Bermakna, bilangan penerima habuan Aidilfitri Persatuan Ain bertambah 20 peratus, berbanding sekitar 500 penerima tahun lalu.

Lantaran itu, persiapan Hari Raya bagi para pesakit barah itu boleh dikatakan mendapat sedikit keringanan.

Ini kerana setiap seorang menerima habuan berbentuk wang tunai antara $100 hingga $270.

Peruntukan $100,000 secara keseluruhan itu datang daripada dana $510,000 yang dikumpulkan semasa konsert amal di saluran Suria, Projek Kasih 2019.

DAPAT SUMBANGAN PERIBADI PRESIDEN HALIMAH

Dalam satu majlis pengagihan hari ini (9 Mei), 50 daripada mereka menerima agihan tersebut daripada Presiden Halimah Yacob, yang merupakan Penaung Persatuan Ain.

Malah lebih istimewa lagi, mereka turut menerima sumbangan wang peribadi daripada Presiden Halimah sendiri, yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Bagi golongan para penerima yang dianggap lebih memerlukan bantuan, mereka juga diberikan baucar NTUC bernilai $100.

Ini bermakna golongan lebih memerlukan itu mendapat lebih $370 kesemuanya demi membantu persiapan Lebaran mereka.

"Bantuan ini dapat membantu dalam soal juadah Hari Raya dan kuih-muih, memandangkan saya sudah tidak lagi bekerja. Sekurang-kurangnya ia dapat menokok perbelanjaan duit pasar saya untuk Hari Raya ini," kata Cik Siti Zaleha Mulot seorang penerima bantuan Persatuan Ain.

Seorang lagi penerima Cik Nur Erliana Abdul Jaleal berkata: "Saya rasa bersyukur sangat dapat tolong emak saya dengan duit ini sebab kita pun perlukan duit ini untuk beli barang-barang."

"Walaupun tahun ini bertambah, jumlah pesakit barah lebih daripada 600 orang menerima habuan Hari Raya Aidilfitri, bersyukur kami dengan murah hatinya masyarakat Singapura, terutama sekali masyarakat Melayu/Islam kita yang sama-sama turut membantu.

"Setidak-tidaknya kami dapat menceriakan Hari Raya yang bakal menjelang ini, membantu mereka dengan keluarga mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain Md Yusof Ismail.

Persatuan Ain menambah bahawa selain habuan itu sebahagian daripada dana dikumpulkan Projek Kasih 2019 juga akan diperuntukkan untuk menampung kos membina pusat untuk pesakit barah kanak-kanak.

Secara keseluruhan, Persatuan Ain mempunyai lebih 100 pesakit barah kanak-kanak di bawah naungannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan