Ramadan & Syawal 2019

Images
  • kanak-kanak buat persembahan di gereja di majlis buka puasa
    Para belia gereja dan masyarakat Muslim bergabung membuat persembahan di majlis berbuka puasa. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina)

Gereja buka pintu jadi tuan rumah 500 warga Islam berbuka puasa

SINGAPURA: Dalam satu inisiatif mungkin yang pertama seumpamanya di Singapura, sebuah gereja menjadi tuan rumah kepada satu majlis berbuka puasa besar-besaran untuk sekitar 500 orang.

Ia dianjurkan Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints di Bukit Timah hari ini (27 Mei) dengan kerjasama Persatuan Jamiyah Singapura.


Majlis turut dihadiri Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S Iswaran, serta para anggota parlimen lain, para diplomat, pemimpin-pemimpin pelbagai agama serta para pemimpin akar umbi.

Gereja tersebut dan Jamiyah menyatakan ini dapat menggalakkan lebih banyak lagi dialog antara agama.

Inisiatif silang agama ini juga dipuji oleh Encik Iswaran.

"Ia satu langkah demi keharmonian dan pemahaman antara kaum dan agama yang ingin kita pupuk di Singapura. Saya rasa lebih banyak jembatan yang kita bina, kurang pagar yang ada. Lebih banyak rasa saling percaya kita bina, akan semakin kurang rasa sangsi, dan lebih banyak kita belajar bekerjasama, bukan bekerja berasingan daripada satu sama lain," kata beliau.


"Saya rasa jika segala-galanya berjalan baik bagi Singapura sebagai sebuah masyarakat, sebagai sebuah negara, dan juga dengan cara kita (walaupun) kecil boleh memberi kesan kepada dunia, serta cabaran-cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah masyarakat global."

Di kalangan para pemimpin agama Islam, wakil-wakil dari Masjid Ba’alwie, Masjid Al-Falah, Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran dan Masjid Angullia.

Wakil agama lain termasuklah dari agama Kristian, Hindu dan Buddha.

"Saya amat bersyukur kerana pihak gereja sedia untuk mengadakan acara iftar ini bersama kita pihak Islam serta pihak agama lain. Dengan itu kita dapat memahami amalan satu sama lain," ujar Anggota Lembaga Pentadbir Masjid Al-Mawaddah, Senin Amak.

HULUR BANTUAN KEPADA MEREKA YANG MEMERLUKAN

Selain mengeratkan hubungan silang agama, cek bernilai $45,000 diagihkan kepada para penerima bantuan Jamiyah dan gereja.

Wang itu hasil sumbangan gereja tersebut, kuil Chettiar, syarikat barang kemas Malabar, kumpulan relawan Heartwarmers dan pusat Minora.

55 penerima bantuan Jamiyah dan Gereja Jesus Christ of Latter-day Saint juga menerima habuan makanan asas seperti gula, beras dan minyak.

BUKU ANALISIS TATABAHASA QURAN DARI GEREJA KE MASJID S’PURA

Di majlis berbuka puasa tersebut Presiden bagi Gereja Jesus Christ of Latter Day Saints, Jean-Luc Butel, turut menghadiahkan senaskhah buku analisis tatabahasa Al-Quran kepada wakil-wakil masjid di sini.


Buku tersebut diberikan bagi menggalak jemaah masjid di sini mempelajari bahasa Arab dengan lebih mendalam lagi agar mereka dapat memahami makna dan erti Quran dengan lebih baik lagi.

Menurut Presiden Butel, bapa mertuanya merupakan penulis bagi buku tersebut. Namun menariknya beliau bukan beragama Islam. Bapa mertuanya itu sebenarnya mempunyai minat yang amat mendalam untuk memahami makna di sebalik Al-Quran.

Naskhah yang dihadiahkan itu merangkumi enam jilid.

Antara masjid dan badan yang menerima termasuk:
Masjid Al-Mawaddah, Masjid Baalwie, Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran dan MKAC.

- BERITAmediacorp/UR/sm

Top