Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

DPPMS tawar Skim Milik Muslim jangka pendek bagi bantu rancakkan perniagaan pegerai bazar Ramadan

Pilihan makanan tradisional yang terhad dan gerai-gerai yang menjual makanan tanpa logo Halal di bazar Ramadan adalah antara isu-isu yang membelenggu bazar-bazar Ramadan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pilihan makanan tradisional yang terhad dan gerai-gerai yang menjual makanan tanpa logo Halal di bazar Ramadan adalah antara isu-isu yang membelenggu bazar-bazar Ramadan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, tempoh sewa yang singkat turut menyulitkan usaha sesetengah pegerai untuk mendapatkan sijil Halal.

Bagi membantu meningkatkan keyakinan para pengunjung bazar-bazar Ramadan, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) memperkenalkan Skim Perusahaan Milik Muslim (Muslim-Owned Establishment, atau 'MOE') jangka pendek untuk membantu para peniaga Melayu/Islam yang mengendalikan gerai-gerai makanan di bazar-bazar tersebut.

Menurut Pengarah Eksekutif DPPMS, Azrulnizam Shah Sohaimi, skim itu meningkatkan lagi keyakinan para pelanggan.

"Dengan adanya pengiktirafan MOE ini, ia akan dapat membina keyakinan dalam kalangan para pelanggan dan bantu untuk memajukan perniagaan para peserta dari segi katering, dan mungkin penjualan di gerai-gerai mereka sendiri," kata Encik Azrulnizam.

Tambah beliau lagi, "Skim Milik Muslim ini dapat menyiapkan para peniaga ini yang menjalani program asas pengendalian makanan Halal supaya mereka bersedia untuk insyallah mendaftarkan bagi pensijilan Halal yang dikendalikan MUIS, itulah harapannya. Dan dengan pensijilan itu mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka pada tahap antarabangsa juga."

Para peserta yang menyertai skim itu diperlukan menjalani latihan selama dua jam di mana mereka diajar cara-cara seperti meneliti bahan masakan bagi memastikan ia Halal serta kaedah pengendalian makanan Halal.

(Gambar: Nur Hazimah Anuar)

Di akhir kursus itu, mereka akan diberikan sijil Perusahaan Milik Muslim (Muslim-Owned Establishment) serta pelekat yang boleh ditampal pada gerai masing-masing.

Menurut salah seorang peserta, Hamzah Mohamad Salim (Taliwang Restaurant): "Kita sebagai seorang Muslim yang bergiat dalam bidang makanan dan minuman (F&B), kita mempunyai kewajipan untuk menyajikan makanan yang Halal. Jadi kursus ini dapat membantu kita dalam proses menyajikan makanan itu."

Bagi pengarah syarikat Fitri's Creations, Cik Siti Lim pula: "Kursus ini mengajar kita untuk lebih meneliti dan memahami perkara-perkara yang perlu kita mendapatkan kepastian dari segi bahan-bahan sama ada ia Halal atau tidak."

Selain daripada itu, DPPMS turut menawarkan skim serupa tetapi bagi tempoh jangka panjang untuk para pemilik perusahaan Melayu/Islam.

Jumlah permintaan bagi skim-skim itu juga telah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding setahun lalu.

DPPMS juga mempunyai rancangan untuk memperluaskan rangkaian kerjasama dengan lebih banyak pengendali bazar serta badan-badan perusahaan termasuk bukan Melayu/Islam.

Usaha ini diharap akan terus mempertingkatkan prestij dan kewibawaan sijil itu, di samping membina keyakinan para pelanggan untuk terus melanggani kedai dan gerai mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan