Skip to main content

Iklan

Iklan

Beza agama tidak halang bapa kejutkan anak bersahur

Perbezaan agama tidak sesekali pun menjadi penghalang untuk seorang bapa ini mengejutkan anaknya bersahur setiap pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Beza agama tidak halang bapa kejutkan anak bersahur

Gambar hiasan. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 10 May 2019 11:41AM Dikemas Kini : 21 May 2019 06:22PM

JITRA: Perbezaan agama tidak sesekali pun menjadi penghalang untuk seorang bapa ini mengejutkan anaknya bersahur setiap pagi.

Itulah rutin harian Lim Hun Kheng, 44 tahun, sepanjang bulan Ramadan bagi anak sulungnya yang memeluk Islam atas kerelaan diri sendiri sejak Mac 2018.

"Setiap hari jam 5.00 pagi, saya akan kejutkan anak saya bersahur. Walaupun berbeza agama, saya mahu dia taat kepada perintah Tuhan," katanya seperti yang dipetik oleh BH Online.

Malah, Encik Lim juga memastikan agar anaknya, Mohammad Firdaus Hong Abdullah, menunaikan solat Subuh sebelum menghantarnya ke sekolah, termasuklah Kelas Agama dan Fardhu Ain pada sebelah petang.

Encik Lim berkongsi bahawa beliau tidak pernah menghalang Firdaus, atau nama asalnya Lim Ching Hong, daripada memeluk agama Islam.

Selain mengizinkan anak lelakinya yang berusia 12 tahun itu memasuki Islam, beliau turut memberi sokongan dan semangat kepada anaknya.

"Walaupun aktiviti hariannya padat, saya tetap mahu Firdaus mendalami agama Islam dan membenarkan dia berkawan dan belajar agama dengan keluarga angkatnya," katanya.

Encik Lim memberitahu BH Online bahawa anaknya memang berminat dengan agama Islam sejak bersekolah di Tahun Satu, malahan cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Dia selalu dapat keputusan A dalam ujian Pendidikan Islam. Saya dan isteri, dengan bantuan guru-gurunya, membawa dia ke pejabat agama Islam Daerah Kubang Pasu untuk memenuhi keinginannya memeluk agama Islam.

"Saya memang tidak ada halangan, malahan mengizinkan dia masuk Islam, sebab dia memang mempunyai minat yang mendalam pada Islam," katanya.

Sementara itu, Firdaus seronok menantikan kedatangan Ramadan apabila dapat menunaikan solat sunat terawih di masjid atau surau bersama rakan-rakan.

BH Online menukil beliau sebagai berkata: "Itu antara aktiviti yang saya tunggu-tunggu di bulan Ramadan, namun yang lebih penting sejak memeluk Islam, saya sudah mendapat jawapan terhadap soalan yang bermain di fikiran saya sebelum ini, antaranya bagaimana manusia wujud dan manusia berasal dari mana.

"Saya juga suka mendengar kisah-kisah nabi, ajaran Islam memberi ketenangan kepada saya, malah puasa juga melatih sifat sabar dalam diri seorang muslim," katanya.

Ditanya mengenai kebolehannya membaca al-Quran pula, Firdaus berkata beliau kini sudah menganjak ke iqra tiga dan sudah menghafal bacaan di dalam solat.

Beliau juga meluangkan masa pada hujung minggu dengan mengunjungi rumah datuk angkatnya Aziz Isa, 63 tahun, bagi mempelajari lebih tentang agama Islam.

"Di sana, saya akan belajar solat berjemaah termasuklah mempelajari agama, saya sangat suka dengan kehidupan saya sekarang.

"Ramai yang mengambil berat tentang saya, guru-guru sekolah juga sering membantu saya, pihak sekolah sudah membeli sepasang baju raya untuk saya," tambahnya.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan