Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bersatu menjamin keharmonian agama dan sosial - Iswaran

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran menegaskan lagi keharmonian sosial dan agama yang dinikmati rakyat negara ini tidak boleh diambil ringan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bersatu menjamin keharmonian agama dan sosial - Iswaran

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran bersama para penduduk Divisyen West Coast semasa Majlis Berbuka Puasa@West Coast pada 18 Mei 2019. (Gambar-Gambar: MCI)

BERITAmediacorp: Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran menegaskan lagi keharmonian sosial dan agama yang dinikmati rakyat negara ini tidak boleh diambil ringan.

Beliau merujuk kepada serangan-serangan yang berlaku di New Zealand dan Sri Lanka baru-baru ini, yang tercetus akibat salah faham yang disemai dalam kalangan penduduk.

Menurut Encik Iswaran, ia mungkin disebabkan oleh amalan agama ataupun penyebaran maklumat palsu menerusi Internet atau daripada sumber-sumber berlainan. Walau apa pun, ia merupakan satu ancaman sebenar.

Maka itu, beliau berkata usaha yang dilakukan pada peringkat akar umbi adalah untuk menyatukan pelbagai anggota masyarakat.

Ia bukan sahaja bagi mengamalkan perayaan budaya satu sama lain, tetapi untuk mempelajari tentang amalan agama yang berbeza dan sekaligus mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan antara masyarakat.

Encik Iswaran berkata demikian semasa berucap di Majlis Buka Puasa@West Coast bersama 1,000 penduduk Divisyen West Coast, yang dianjurkan pada Sabtu (18 Mei).

Beliau berkata majlis berbuka puasa misalnya bukan sahaja memberi rakyat peluang untuk mempelajari tentang budaya satu sama lain, malah ia juga membolehkan mereka memahami amalan dan ajaran agama sesebuah masyarakat.

Lantaran itu, Encik Iswaran berkata beliau berbesar hati melihat para pelajar dari Sekolah Rendah Nan Hua dan Sekolah Menengah Kent Ridge turut terlibat dalam majlis itu. Sekitar 40 hingga 50 pelajar membantu menghidangkan juadah berbuka puasa kepada para penduduk di majlis tersebut.

Ia adalah sebahagian daripada program Perjalanan Pembelajaran anjuran Masjid Tentera Diraja dan Majlis Pembangunan Masyarakat CDC Barat Daya.

Selain para pelajar, anggota-anggota Kumpulan Sokongan Ibu Bapa serta para pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan turut menyertai majlis berbuka puasa tersebut.

Menurut Encik Iswaran, para pelajar dari kedua-dua sekolah itu juga berpeluang mengunjungi Masjid Tentera Diraja yang terletak di Kent Ridge bagi memahami dengan lebih mendalam tentang amalan-amalan masyarakat Muslim.

BERWASPADA DAN BERTANGGUNGJAWAB MENGGUNAKAN INTERNET

Pada masa yang sama, Encik Iswaran juga menekankan bahawa rakyat harus bersikap lebih berwaspada ketika menggunakan Internet.

Meskipun ia dianggap sebagai satu sumber maklumat, namun ia juga merupakan ancaman dengan terdapatnya maklumat palsu yang boleh meninggalkan kesan-kesan serius.

Oleh itu menurut beliau, undang-undang diperkenalkan bagi membantu memperbetulkan maklumat dan cuba mencegah penyebaran maklumat palsu.

Beliau bagaimanapun berkata setakat memperkenalkan undang-undang sahaja tidak mencukupi. Pemerintah juga memerlukan bantuan rakyat bagi memainkan peranan sebagai barisan pertahanan pertama kerana merekalah yang sering menggunakan Internet dan media sosial.

"Jadi, kita harus lebih sedar, kita harus bersikap bertanggungjawab," tegas Encik Iswaran.

"Kita harus memastikan tidak ada ruang bagi kenyataan dan maklumat palsu disebarkan bagi menanam perasaan tidak puas hati atau sebarang salah faham antara pelbagai kumpulan etnik dan agama di sini."

Tambah Encik Iswaran: "Saya harap anda akan menyertai usaha ini supaya kita boleh terus membangunkan sebuah masyarakat yang kukuh dan harmoni di Singapura." 

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan