Skip to main content

Iklan

Iklan

Benarkah Bazar Ramadan penyumbang terbesar pembaziran makanan?

Bazar-bazar Ramadan adalah penyumbang terbesar terhadap pembaziran makanan kala bulan puasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Benarkah Bazar Ramadan penyumbang terbesar pembaziran makanan?

Suasana di bazar Ramadan di luar kawasan pusat beli-belah Angsana, Johor Bahru. (Gambar hiasan: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 16 May 2019 07:31AM Dikemas Kini : 17 May 2019 11:23AM

KUALA LUMPUR: Bazar-bazar Ramadan adalah penyumbang terbesar terhadap pembaziran makanan kala bulan puasa.

Pengarah Operasi 'Food Aid Foundation' atau Yayasan Bantuan Makanan Hayati Ismail berkata, bertentangan dengan kepercayaan popular, hotel-hotel sudahpun mempelajari daripada amalan lalu dan melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah pembaziran menerusi bufet prapesanan dan masakan secara langsung.

Beliau berkata 25 hingga 35 peratus sisa makanan sehari-hari datang daripada bazar kerana para penjual cenderung untuk bergantung kepada mentaliti "hanya terus memasak dengan harapan segalanya terjual".

"Penjual bazar Ramadan tidak merancang berapa banyak untuk memasak. Mereka tidak melakukan sebarang anggaran atau unjuran perniagaan.

"Apabila makanan tidak terjual, kebanyakannya dibuang, berbanding dengan hotel, yang menghantar lebihan makanan kepada kakitangan kafeteria," katanya kepada New Straits Times pada Selasa (14 Mei).

Cik Hayati berkata hanya beberapa bazar - secara khususnya yang terletak di Putrajaya, Lembah Pantai, Pandan Indah dan Kampung Baru - bekerjasama dengan rangkaian MY Save Food untuk menyelamatkan sisa makanan.

"Terdapat ribuan bazar di Lembah Klang sahaja. Mendapatkan sukarelawan semasa Ramadan untuk mengumpul makanan (yang tidak terjual) adalah sukar.

"Di samping itu, sesetengah makanan mula basi seawal 9.00 malam. Keselamatan makanan adalah cabaran terbesar di bazar."

Bagaimanapun, ada beberapa pengecualian.

Cik Hayati berkata tidak banyak pembaziran makanan bagi hidangan yang dimasak secara langsung seperti ayam panggang atau murtabak.

MAKANAN DARI SAJIAN BUFET HOTEL TIDAK DAPAT DISELAMATKAN

Mengenai sumbangan hotel pula, lapor New Straits Times, beliau menjelaskan bahawa makanan yang diberikan oleh pertubuhan itu segar dan belum lagi dihidangkan.

Cik Hayati berkata bank makanan tidak mengambil lebihan makanan daripada bufet kerana ia mempunyai "risiko kesihatan lebih tinggi" memandangkan ia terdedah kepada suhu bilik dan orang ramai.

"Kami tidak mengumpul makanan secara harian kerana jumlahnya terlalu sikit, hanya lima hingga 10 kilogram. Jadi ia tidak berdaya maju dari sudut pandangan logistik dan tidak berpatutan dengan kos. Jika kami mengumpulnya menjelang hujung minggu, kami akan mendapat kira-kira 30 hingga 100kg."

Antara hotel yang bekerjasama dengan yayasan tersebut adalah Bangi Golf Resort dan Pullman Hotels and Resorts.

Makanan yang diselamatkan oleh yayasan berkenaan dari hotel-hotel akan diolah dan digunakan semula untuk mencipta menu baru yang berlainan, lapor New Straits Times.

Yayasan tersebut adalah bank makanan yang menyelamatkan lebihan makanan daripada pengeluar, pengilang, pengedar dan peruncit untuk diagihkan semula kepada golongan yang memerlukan.

Sumber : Agensi berita/FZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan