Belanja dengan bijak menjelang Lebaran, pesan perunding kewangan
Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Itulah pesanan seorang perunding kewangan Shamsuddin Abdul Kadir, sedang masyarakat Islam tidak lama lagi memulakan persiapan sempena Hari Raya.
KUALA LUMPUR: Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Itulah pesanan seorang perunding kewangan Shamsuddin Abdul Kadir, sedang masyarakat Islam tidak lama lagi memulakan persiapan sempena Hari Raya.
Ketika dihubungi Astro Awani, Encik Shamsuddin berkongsi beberapa tip praktikal.
UTAMAKAN KOMITMEN, ASINGKAN AKAUN
"Pertama, selesaikan semua ansuran dahulu, supaya kita tak tersalah guna untuk benda-benda lain. Kedua, pindahkan duit itu ke akaun lain, bukan akaun di mana gaji masuk," kata Encik Shamsuddin seperti dilaporkan Astro Awani.
"Sebagusnya, kita ada dua akaun di bank. Satu untuk gaji, satu untuk back-up kita."
Menurut beliau, ini cara baik bagi memastikan jika seseorang itu terlebih belanja bagi persiapan hari raya, terdapat baki wang dalam akaun kedua yang boleh digunakan untuk belanja keperluan bulan hadapan.
Tambah Encik Shamsuddin, langkah ini adalah satu yang ramai orang pandang rendah kepentingannya.
BERINGAT KETIKA BELANJA
Khusus bagi mereka yang menerima bonus sempena musim perayaan ini, Encik Shamsuddin menekankan pentingnya untuk mengembangkan wang tersebut dan tidak dibelanjakan kesemuanya.
"Dan sebolehnya, ambil minimum 10 peratus untuk dimasukkan ke dalam akaun pelaburan, supaya tak semua duit bonus itu dileburkan ketika raya nanti," tambah beliau seperti ditukil Astro Awani.
Berhubung perbelanjaan pula, nasihat beliau adalah: "Kita beli persiapan raya yang cukup syarat sahaja, jangan beli berlebihan.
"Buat tinjauan di dua tiga kedai, kalau benda yang sama, cari harga yang lebih murah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.