Ramadan 2019

Images
  • bazar geylang file 1
    Bazar Geylang Serai (Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

Bazar Hari Raya WGS terima 500,000 kunjungan pada 10 hari pertama Ramadan

BERITAmediacorp: Sekitar 500,000 orang sudahpun mengunjungi Bazar Hari Raya kendalian Wisma Geylang Serai (WGS) pada 10 hari pertama Ramadan ini.

Demikian menurut dua syarikat yang mengendalikan bazar tersebut.

"Rata-rata kami menerima respons baik daripada orang ramai, terutama sekali dengan ruang-ruang jalan yang lebih luas dan majoriti gerai-gerai yang menjual persiapan barangan hari raya dan juga had sewa kedai yang bawah $14,000," kata Penolong Pengarah Program Bersepadu & Hubungan Pelanggan WGS, Encik Muhammad Yunus Haroon.

Segala pembaharuan yang dilakukan bertujuan membangkitkan keaslian bazar Ramadan dan suasana Hari Raya untuk para pengunjung.

Encik Osman Ariffin, konsultan Orange Travel, berkata: "Kalau kita boleh lihat sendiri saya rasa orang suka ke sini dengan keadaan-keadaan yang dipenuhi dengan cahaya-cahaya lampu, makanan-makanan bukan sahaja yang "fusion" tetapi makanan-makanan tradisional. Pakaian-pakaian juga yang banyak ikatan, sesuai untuk Hari Raya".

Orange Travel dan sebuah lagi syarikat pengendali bazar, Enniche-Corpbiz, gembira dengan hasilnya sejauh ini.

Para peniaga yang menyewa gerai juga tampaknya sekata.

"Tahun ini ia lebih besar, lebih luas, lebih "hip". Dapat menarik golongan muda, orang-orang muda boleh datang ke WGS ini," kata Muhd Shafiq, seorang peniaga Kurta Boys.

Encik Zairi Ashri, seorang peniaga kedai Lecel by Nanie, juga berkongsi pandangan yang sama. "Nampak lagi banyak budak-budak muda yang datang kerana saya rasa semua benda, banyak ikut yang trend-trend sekarang," katanya.

Konsep hab makanan 'hipster' yang lengkap dengan ruang-ruang sembang misalnya sangat popular dalam kalangan golongan muda.

"Sambutan masyarakat Alhamdulillah. Imej yang kita ingin luahkan kepada masyarakat yang kita sebagai masyarakat kita adalah orang yang progresif," kata Encik Ahmad Mubarak Shah Jehan dari Enniche-Corpbiz.

Orang ramai yang ditinjau BERITAmediacorp di sela-sela bazar itu juga rata-rata berkongsi pandangan positif tentang apa yang mereka lihat tahun ini.

Menurut syarikat Enniche-Corpbiz, bazarnya sudah berjaya menarik sekitar 500,000 pengunjung pada 10 hari pertama Ramadan.

Ini bermakna bilangan yang sama turut mengunjungi bazar kendalian Orange kerana berada di tapak yang sama.

Dengan Aidilfitri semakin hampir, perniagaan juga dijangka semakin rancak. 

- BERITAmediacorp/ai

Top