Skip to main content

Iklan

Iklan

Bapa Cina ini kejutkan anak angkat Melayu bangun sahur, solat tarawih setiap Ramadan

"Setiap Ramadan, saya akan mengejutkan anak-anak angkat saya untuk bangun sahur. Setiap malam pula, saya menghantar mereka ke masjid untuk solat tarawih," kata Lim Peng Chik, 74 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa Cina ini kejutkan anak angkat Melayu bangun sahur, solat tarawih setiap Ramadan

Gambar hiasan. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 29 May 2019 12:24PM Dikemas Kini : 29 May 2019 12:27PM

IPOH: "Setiap Ramadan, saya akan mengejutkan anak-anak angkat saya untuk bangun sahur. Setiap malam pula, saya menghantar mereka ke masjid untuk solat tarawih," kata Lim Peng Chik, 74 tahun.

Encik Lim, yang tinggal di sebuah rumah sewa di Taman Cempaka di Ipoh, mempunyai empat anak angkat Melayu. Mereka adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun, serta dua remaja perempuan berusia 15 tahun, menurut laporan New Straits Times.

"Saya menguruskan persekolahan mereka kerana mereka datang daripada keluarga tidak berkemampuan dan bermasalah. Saya menghantar mereka ke sekolah dan mengambil mereka ketika pulang dari sekolah.

"Walaupun mereka berlainan bangsa dan agama, saya langsung tidak pernah berkira untuk membantu mereka, hati sangat gembira apabila jaga mereka," katanya.

Encik Lim berkata demikian semasa bercakap dengan para wartawan semasa program menyampaikan sumbangan derma kepada 60 saudara baru dan 20 bukan Islam sempena Ramadan baru-baru ini.

Warga emas itu sudah biasa tinggal dan menjaga anak angkat berbangsa Melayu sejak hampir 30 tahun lalu. Encik Lim berkongsi bahawa sikap ingin membantu itu bermula ketika beliau tinggal di Taman Desa Tambun. Ketika itu, beliau berjiran dengan keluarga Melayu yang hidup dalam kesusahan.

"Saya mengetahui keluarga anak-anak itu yang hidup susah. Jadi saya membantu dengan memberikan segala yang diperlukan mereka seperti beras, makan dan minum, duit belanja dan saya tidak pernah berkira untuk buat semua ini," katanya, seperti dipetik oleh New Straits Times.

Encik Lim yang tinggal sebatang kara bersedia membantu segala keperluan keluarga berkenaan kerana merasakan segala harta dimiliki sudah lebih daripada mencukupi.

Encik Lim, yang mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang kimia Universiti Malaya (UM), pernah bekerja di Singapura selama dua tahun sebelum pulang ke tanah air dan bekerja dalam perniagaan eksport minyak kelapa sawit di Pelabuhan Klang.

Beliau kemudian berkhidmat dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selama hampir 20 tahun sebelum ke Manila, Filipina untuk bekerja dengan syarikat pemprosesan minyak selama dua tahun, menurut laporan itu lagi.

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan