Ramadan 2019

Images
  • baju raya raznil
    Baju Melayu 'Raznil', rekaan bersama Aznil Nawawi dengan pereka fesyen Razman Razmi. (Gambar: Datuk Aznil Hj Nawawi/Instagram)

Baju Melayu serona dari atas ke bawah rekaan Aznil Nawawi dipersenda netizen

KUALA LUMPUR: Sempena Ramadan, ramai selebriti disunting menjadi duta baju kurung atau baju Melayu, bahkan, ada dalam kalangan mereka menjalin kerjasama dengan pereka fesyen untuk mengeluarkan busana Hari Raya rekaan bersama.

Sungguhpun ada yang cantik mata memandang, tidak semua hasil rekaan pakaian itu menepati citarasa orang ramai.

Begitulah keadaannya bagi baju Melayu rekaan pengacara, Aznil Nawawi, yang menjadi bahan gurauan netizen kerana ia menggunakan samping berwarna sama dengan warna baju.

Hal itu menjadi tular apabila Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil mempromosikan baju Melayu hasil kerjasama dengan pereka fesyen Malaysia Razman Razmi, lapor Kosmo Online. Menerusi perkongsian di laman Instagram Aznil, rekaan baju Melayu tersebut diberi nama Raznil.

“Sedih juga apabila baju saya dijadikan bahan gurauan. Samping berwarna sama dengan baju itu saya beri percuma sahaja kerana mengenangkan ia pernah dipakai oleh idola saya, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

“Kalau tak suka samping berwarna, saya beri percuma samping songket dengan setiap pembelian. Senang, supaya semua ada pilihan,” jelas Aznil seperti ditukil oleh Kosmo Online.

Dalam pada itu, Aznil turut berkata bahawa beliau tidak mahu memanjangkan hal itu memandangkan sekarang adalah bulan Ramadan - bulan suci yang tidak memerlukan isu remeh seperti sedemikian.

“Orang baling batu, saya balas bunga. Selesai dan takda masalah," tulisnya lanjut.

Dalam satu lagi kemas kini di Instagram, Aznil berkata: "Biarlah orang persendakan. RAZNIL tetap akan di pasaran. Nantikan tarikhnya." 

- Agensi berita/FZ/fz

Top