Ramadan & Syawal 2019

Images
  • Masjid Sultan
    Masjid Sultan. (Gambar fail: MUIS)

Aset wakaf masyarakat Melayu/Islam bernilai lebih $940 juta tahun lalu

SINGAPURA: Aset wakaf masyarakat Melayu/Islam sudah bernilai lebih S$940 juta setakat sehingga tahun lalu, dedah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Hari Raya di Hotel Mariott Tang Plaza hari ini (14 Jun).

Pada tahun lalu juga, masyarakat Melayu/Islam berjaya menyumbang zakat sebanyak S$43 juta kepada MUIS bagi membantu keluarga yang memerlukan.

Malah, menurut Encik Masagos, sebanyak S$18 juta juga disumbangkan masyarakat "kecil" kita ini tahun lalu bagi membina masjid, sekaligus menjadikan jumlah dana sebanyak S$250 juta bagi pembinaan masjid sejak hampir 45 tahun lalu.

Bukan sahaja ramai peniaga mapan yang menyumbang, kata beliau, bahkan masyarakat Melayu/Islam turut mengendalikan sendiri acara mengumpul dana bagi membina atau menaik taraf masjid, tanpa bantuan pihak luar negara mahupun pemerintah.

Semangat bersatu dalam membuat sumbangan besar kepada masyarakat seumpama inilah, kata Encik Masagos, yang mencerminkan keperibadian masyarakat kita yang murni.

"Kalau kita jumlahkan zakat, dana pembinaan masjid dan dana wakaf, masyarakat kecil kita mengendalikan aset-aset yang melebihi S$1 bilion! Itulah berkat bersatu dari keperibadian masyarakat kita yang dibanggakan.

"Justeru, masyarakat Melayu/Islam kita kuat bukan kerana ramainya yang berpendapatan tinggi dan peniaga jutawan di kalangan kita, tetapi kerana nilai-nilai murni yang kita pegang," kata Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Inilah keperibadian masyarakat yang kita banggakan, ujar beliau lagi.

Encik Masagos berkata demikian bagi melahirkan rasa besar hatinya dengan adanya hampir 200 asatizah tampil menyokong sebilangan projek M³ serta hampir 200 karyawan dan orang awam tampil sebagai sukarelawan untuk berbakti sambil mengimbangi pelbagai komitmen lain.

"Mungkin ada pula yang mengkritik, apakah kita sudah dapat berbangga hanya kerana karyawan mula ramai tampil ke hadapan. Malah mereka akan berkata kita seharusnya berasa segan menggelar masyarakat kita sebagai Masyarakat Gemilang kerana jumlah karyawan dan yang cemerlang masih jauh lebih kecil berbanding masyarakat lain.

"Kepada mereka saya katakan, lihat sahaja pada sejarah awal Islam. Meskipun jumlah Muslimin ketika itu kecil, namun mereka dapat mengatasi cabaran yang luar biasa apabila mereka bersatu dan yakin," kata Encik Masagos. 

- BERITAmediacorp/zm

Top